Wednesday, 29 November 2023

Awan Hitam


Awan Hitam









Bosan...

Bila nak balik nie...
Penat melayan kerenah manusia...
Topeng berlapis-lapis
Sampai lupa wajah sebenar yang mana

Benci...

Kebencian yang membencikan
Melihat manusia yang hidup mendabik dada
Merasakan diri tinggi melangit
Memijak di bawah tiada harga

Rosak...

Mental dan fizikal letih lesu
Perasaan dan jiwa haru biru
Rosak hati berkecai seribu
Mengadap manusia bermaharajalela

Bala...

Semua datang bertimpa-timpa
Sindir mengeji perkara biasa
Anggap halwa penglipur lara
Semua untuk hiburan belaka

Letih...

Kehidupan manusia membosankan
Penuh kepalsuan dan muslihat
Letih merawat sakit sembilu
Kesendirian di situ terpaku bisu


Akeno | 29.11.2023 | 4.56 pm | Shah Alam



Monday, 23 October 2023

Hujan

 


                                                                            
Hari ini - Selasa 24 Oktober 2023 jam 2.08 petang lokasi di Shah Alam

Petang ini hujan lagi...hujan selebat-lebatnya. Sama seperti hari kelmarin dan sebelum kelmarin...Guruh berdentum-dentum...suhu sejuk...

Aku suka hujan. Cuaca pilihan yang paling aku suka adalah waktu hujan. Entah kenapa bagi aku hujan mendamaikan. Setiap titisan air yang melimpah turun dari kepulan awan terasa sangat mendamaikan. 

Walaupun, ada juga yang mengatakan bahawa hujan membawa seribu musibah jika keadaan hujan itu luar dari kebiasaannya...tetapi pada masa yang sama hujan juga merupakan satu rahmat dariNya. Turunnya hujan boleh menyejukkan tanah dan pepokok. Turunnya hujan boleh membasahi bumi yang gersang. Turunnya hujan menyamankan cuaca yang panas.  

Melalui hujan juga kita boleh melihat begitu besarnya kekuasaanNya. Dari proses pengumpulan cecair naik ke atas dalam bentuk wap dan membentuk awan. Akhirnya awan muntahkan semula air tersebut dalam bentuk hujan dan mengembalikan semula ke daratan.

Kitaran pembentukan awan dan hujan ini berulang-ulang sehingga ke akhirnya. Sekiranya suatu hari nanti bumi daratan tiada takungan air atau lautan, mungkin ketika itu kita akan merindui kehadiran hujan. Jadi, hargailah dengan hujan yang ada buat maasa sekarang. Kita tidak akan tahu apa yang akan berlaku di hari kemudian jika tiada lagi hujan.


Kenapa aku suka hujan...

Sebab aku suka main air hujan masa kecil dulu...ianya menyeronokkan...

Kenapa aku suka hujan...

Sebab air hujan sejuk dan rasa fresh dari awan...

Kenapa aku suka hujan...

Sebab air hujan sejuk...dan boleh menyegarkan badan...

Kenapa aku suka hujan...

Lepas main hujan...mandi dan sedap tidur...

Kenapa aku suka hujan...

Sebab aku boleh bermalasan di rumah...

Kenapa aku suka hujan

Sebab aku suka tidur time hujan...

Kenapa aku suka hujan...

Sebab time hujanlah doa mudah dimakbulkan...

Kenapa aku suka hujan...

Sebab boleh menangis dalam hujan

Kenapa aku suka hujan...

Sebab aku suka bau hujan...

Kenapa aku suka hujan...

Sebab aku suka...

Aku suka hujan tanpa syarat...



Sunday, 22 October 2023

Bara Buat Penerus (BBP) - Ahhmad Irsyad Akeno

 



Lama aku menyepikan diri dari dunia Blogger. Bukannya apa, cuma aku dah ada platform lain untuk aku kongsikan karya-karya picisan aku yang tak berharga. Menulis adalah untuk terapi jiwa. Jadi, walaupun bukan dalam blog ini, aku masih teruskan penulisan nubis aku.

Banyak dah antologi puisi yang aku join dan ada yang telah diterbitkan. Ada juga anekdot kisah seram yang telah aku hantar dan bakal diterbitkan. Bukan itu sahaja...aku juga telah menghantar penulisan ilmiah aku ke Surat khabar Sinar Harian @Pendapat Rakyat dan artikel aku telah diterbitkan sebanyak 2x pada tahun 2022 dan 2023. Dalam Majalah Majoriti 7 juga ada 1 artikel pendapat aku telah diterbitkan. Begitu juga dengan Majalah Paradigma Sosial 2023 yang bakal diterbitkan.

Semua ini membuatkan aku gembira dan bahagia dalam dunia penulisan aku. Walaupun aku masih bertatih dan merangkak dalam dunia penulisan, tetapi dengan penerbitan-penerbitan artikel ini membuktikan yang penulisan aku layak untuk dibaca oleh semua masyarakat umum. Aku gembira...

Next projek aku adalah Bara Buat Penerus (BBP). Projek ini sebuah projek yang tidak dirancang secara details pun. Ianya terjadi secara tiba-tiba. Dan proses pelaksanaannya juga berjalan ngan smooth je...Tambahan pula geng dalam projek nie semua otai2 dalam penulisan jadi benda yang susah semua jadi senang. 

Ahhmad Irsyad Akeno...tue la nama barisan penulis dalam buku Bara Buat Penerus ini. Kami bertiga dari latar belakang yang pelbagai...bercantum dan berjaya menghasilkan semua buku penulisan puisi modern buat julung-julung kalinya. Bertemakan secara rawak dan yang terlahir dari hati dan minda masing-masing. 

Bara Buat Penerus merupakan satu anjakan paradigma dalam bidang penulisan yang bergabung dengan rakan-rakan seperjuangan yang meminati bidang penulisan. Walaupun keberadaan kami berjauhan beratus batu, tetapi dengan semangat yang jitu dan konsisten, maka buku ini berjaya dihasilkan. Syukur, alhamdulillah....

Memandangkan kami semua penulis nubis dalam penulisan puisi modern...jadi, jangan letak harapan terlalu tinggi dengan karya kami. Jika ada salah dan silap, akan kami perbaiki dari masa ke semasa. Ruangan untuk penambahbaikan untuk sesuatu perkara itu sentiasa ada untuk menjadikan sesuatu itu menjadi lebih baik dan berkualiti. Semuanya bermula dengan satu langkah permulaan...

Langkah yang telah kami buka untuk Bara Buat Penerus... 

Jommm...

Ini adalah versi bocoran dalam talian. Buku fizikal cetakan terhad akan diterbitkan dalam masa tak berhubung waktu....


https://koleksizine.blogspot.com/2023/10/bara-buat-penerus.html?m=1


Ahhmad Irsyad Akeno

Friday, 3 September 2021

Sajak: Kitaran Berulang

 




Berulang-ulang

Seolah-olah tiada permulaan dan pengakhiran

Berulang-ulang

Seolah-olah perulangan yang tiada berkesudahan

Berulang-ulang

Seolah-olah infiniti berterusan hingga akhir zaman...

 

Tapi

Secara realiti

Setiap yang berulang-ulang

Pasti akan ada pengakhiran

Setiap yang berulang-ulang

Pasti akan ada kesudahannya

Setiap yang berulang-ulang

Pasti akan ada penamatnya...

 

Kerana

Dunia hanya sementara

Perulangan zaman dan masa

Pasti akan berakhir

 

Kerana

Manusia tiada kitaran abadi

Yang muda pasti akan tua

Kehidupan akan dikejar oleh kematian

 

Hanya DIA yang berkehendak

Hanya DIA yang berhak

Hanya Dia yang maha kuasa

Atas segalanya...

 

 

#sajakmiku

#ideaspontan

#bilajarimenari

#halamanputihakanberseri

#bilahatiadajiwa

#coretantulisandihasilkan



Miku | 03092021 | 2032pm


Friday, 27 August 2021

Covid19: Sejarah Hitam Dunia

 



Cengkerik berbunyi hari malam

Nyalakan pelita sumbu merah,

18 Mac (2020) tarikh kelam,

Tercatat dalam lembaran sejarah.

 


Mendodoi si anak lagu suriram,

Tidur dalam kelambu jarang,

Seluruh dunia dirundung muram,

Virus Corona datang menyerang


Rumah dibina dari bata,

Bata dibeli dari China,

Lindungi diri keluarga tercinta,

Jauhi diri dari bencana

 

Nakal si anak dirotan-rotan,

Agar menjadi orang berpelajaran,

SOP dipatuhi elak jangkitan,

Bersamalah kita ikut peraturan.


Pimpin si anak peganglah tangan,

Agar si anak tak buat angkara,

Jasa frontliner dilupa jangan,

Mereka berkhidmat demi Negara.

 

Titi diperbuat dari papan,

Si anak berlari selipar tertanggal,

Norma baharu dalam kehidupan,

Pelitup muka jangan ditinggal.

 

Main hujan baju basah,

Si anak dimarah oleh Kak Rosmah,

Kemahiran ICT perlu diasah,

Demi penuhi BDR di rumah.


Kasih ibu bawa ke mati,

Sayang ayah simpan di hati,

Jalankan amanah penuh integriti,

Walaupun tidak diperhati.


Buka jendela celikkan mata,

Virus Corona bukanlah maya,

Kepada-Nya juga tempat meminta,

Agar Corona hilang di dunia.


Gurindam Pekerja vs Majikan

 

Pagi hari masuk Pejabat,

Jumpa Boss ucaplah Selamat.

 

Buatlah kerja dengan sempurna,

Supaya Boss tidak merana.

 

Tepati masa dan rajin bekerja,

Agar produktiviti sentiasa terjaga.

 

Nilai integriti semat di hati,

Kekal jujur walaupun tidak diperhati.

 

Jangan suka sembang banyak,

Gaji tak berkat hutang pun banyak.

 

Sibuk bekerja tak lupa sembahyang,

Hati senang Boss pun sayang.

 

Pekerja yang baik pekerja dijunjung,

Boss yang baik boss disanjung.

 

Tiada kesempurnaan dalam kehidupan,

Nasihat diberi jangan dilupakan.

 

Usah dicanang berita palsu,

Kelak tersisih rakan membisu.


Jangan diharap budi dibalas,

Hendak berbudi kenalah ikhlas.

 

Bila berkawan perlu bersatu,

Ukhwah yang baik pasti direstu.

 

Hidup perlu banyak belajar,

Bukan anugerah direbut dikejar,

Keredaan Allah swt yang lebih wajar.

Lirik Lagu Bangau Oh Bangau - Extraordinary Song

 


Bangau oh bangau,

Kenapa engkau kurus?

 

Macam mana aku tak kurus

Ikan tak mahu timbul

Ikan tak mahu timbul.

 

Ikan oh ikan

Kenapa engkau tak timbul?

 

Macam mana aku nak timbul

Rumput panjang sangat

Rumput panjang sangat

 

Rumput oh rumput

Kenapa engkau panjang?

 

Macam mana aku tak panjang

Kerbau tak makan aku

Kerbau tak makan aku

 

Kerbau oh kerbau

Kenapa tak makan rumput ?

 

Macam mana aku nak makan

Perut aku sakit

Perut aku sakit

 

Perut oh perut

Kenapa engkau sakit?

 

Macam mana aku tak sakit

Makan nasi mentah

Makan nasi mentah

 

Nasi oh nasi

Kenapa engkau mentah?

 

Macam mana aku tak mentah

Api tak mahu menyala

Api tak mahu menyala

 

Api oh api

Kenapa engkau tak mahu menyala?

 

Macam mana aku nak menyala

Kayu api basah

Kayu api basah

 

Kayu oh kayu

Kenapa engkau basah?

 

Macam mana aku tak basah

Hujan timpa aku

Hujan timpa aku

 

Hujan oh hujan

Kenapa engkau timpa kayu?

 

Macam mana aku tak timpa

Katak panggil aku

Katak panggil aku

 

Katak oh katak

Kenapa panggil hujan?

 

Macam mana aku tak panggil

Ular nak makan aku

Ular nak makan aku

 

Ular oh ular

Kenapa nak makan katak?

 

Macam mana aku tak makan

Memang makanan aku

Memang makanan aku

 

Makanan oh makanan

Kenapa engkau rela dimakan?

 

Macam mana aku tak rela dimakan

Ayam cabut lari

Ayam cabut lari

 

Ayam oh ayam

Kenapa engau cabut lari?

 

Macam mana aku tak cabut lari

Musang kejar aku

Musang kejar aku

 

Musang oh musang

Kenapa kejar ayam?

 

Macam mana aku tak kejar

Daging ayam sedap

Daging ayam sedap

 

Daging ayam oh daging ayam

Kenapa engkau sedap?

 

Macam mana aku tak sedap

Tuan jaga aku

Tuan jaga aku

 

Tuan oh tuan

Kenapa engkau jaga ayam?

 

Macam mana aku tak jaga

Nanti pencuri ambil ayam

Nanti pencuri ambil ayam

 

Pencuri oh pencuri

Kenapa engkau nak ambil ayam?

 

Macam mana aku tak ambil ayam

Aku perlukan duit

Aku perlukan duit

 

Duit oh duit

Kenapa engkau diperlukan?

 

Macam mana aku tak diperlukan

Hidup perlu duit

Hidup perlu duit

 

Hidup oh hidup

Kenapa engkau perlu duit?

 

Macam mana aku tak perlu duit

Masyarakat perlu makan

Masyarakat perlu makan

 

Masyarakat oh masyarakat

Kenapa perlu makan?

 

Macam mana tak perlu makan
Manusia hidup untuk bekerja

Manusia hidup untuk bekerja

 

Manusia oh manusia

Kenapa engkau perlu bekerja?

 

Macam mana aku tak bekerja

Rezeki perlu dicari

Rezeki perlu dicari

 

Rezeki oh rezeki

Kenapa engkau perlu dicari?

 

Macam mana aku tak dicari

Anak bini perlu makan

Anak bini perlu makan

 

Anak bini oh anak bini

Kenapa engkau perlu makan?

 

Macam mana kami tak perlu makan

Badan perlu tenaga

Badan perlu tenaga

 

Badan oh badan

Kenapa engkau perlu tenaga?

 

Macam mana aku tak perlu tenaga

Otak kena berfungsi

Otak kena berfungsi

 

Otak oh otak

Kenapa engaku kena berfungsi?

 

Macam mana aku tak berfungsi

Masa depan perlu difikir

Masa depan perlu difikir

 

Masa depan oh masa depan

Kenapa engkau perlu difikir?

 

Macam mana aku tak perlu difikir

Wawasan 2030 perlu dicapai

Wawasan 2030 perlu dicapai

 

Wawasan 2030 oh wawasan 2030

Kenapa engkau perlu dicapai?

 

Macam mana aku tak perlu dicapai

Wawasan kemakmuran bersama 2030 berkhidmat untuk Negara

Wawasan kemakmuran bersama 2030 berkhidmat untuk Negara

Awan Hitam

Awan Hitam Bosan... Bila nak balik nie... Penat melayan kerenah manusia... Topeng berlapis-lapis Sampai lupa wajah sebenar yang mana Benci.....