Saturday 16 May 2020

Kisah 2: Omaigot...I don't want to go there anymore...





Aku percaya semua orang pernah mengalami insiden yang menakutkan sepanjang hidup dia walaupun sekali. Terutamanya jika pergi ke tempat-tempat baharu yang jauh di pendalaman dan sememangnya 'keras' tempatnya. Kadang-kala, pengalaman yang sebegini la yang akan mengajar kita bahawa apa yang dinyatakan dalam al-quran itu benar kerana selain daripada manusia, sememangnya wujud makhluk lain yang telah dijadikan oleh Allah swt di atas muka bumi ini. Cuma ianya telah dihadang dengan satu hijab yang tidak boleh dilihat oleh manusia dengan mata kasarnya. Ianya boleh dilihat sekiranya hijab pandangannya terbuka dan boleh merasai kehadirannya... 


Kisah ini berlaku sekitar tahun 2009. Semua staf yang baharu dilantik ke jawatan tetap perlu hadiri Kursus Induksi di Pusat Latihan Kg. Gajah, Perak. Tujuan wajib hadir kursus ini adalah untuk memenuhi salah satu syarat pengesahan ke dalam perkhidmatan. Jadi aku pun termasuk dalam senarai untuk hadir ke kursus tersebut. Bila aku terima surat jemputan itu aku terima dengan hati terbuka walaupun tertulis di surat tersebut tempoh berkursus adalah selama 16 hari. Sebabnya aku sukakan adventure...suka kepada benda-benda baharu. Al-maklumlah, muda belia lagi...so, semua pun nak try dan menarik bagi aku.  

Kami semua bertolak waktu bagi jam 7.00. Pihak pengurusan telah menyediakan pengangkutan sebanyak 3 buah bas untuk semua peserta kursus ini. Perjalanan yang memakan masa 3 jam berjalan lancar. Aku lebih suka melihat pandangan di luar daripada tidur. Bagi aku, itu sahaja peluang yang ada untuk melihat keindahan suasana kampung. Al-maklumlah, aku nie tak de kampung...lahir dan membesar di bandar. Jadi, aku tak pernah merasa mandi sungai...main lari-lari di bendang...pancing ikan di tali air. Semua pengalaman tue aku tak pernah lalui. Jadi, bila ada peluang yang sebegini, aku jadi excited. Aku nak rasa semua, selagi boleh.

Setiba di pusat latihan, semua peserta perlu mendaftar kehadiran di kaunter pendaftaran. Semua peserta telah dibahagikan mengikut kumpulan yang telah ditetapkan. Jadi, semua telah berkumpul mengikut kumpulan masing-masing semasa pendaftaran. Time nie la nak kenal semua peserta yang datang dari beza department dan unit. Kalo tak sebelum nie tak pernah tahu dan kenal pun. Jadi, kursus ini juga merupakan salah satu cara pihak pengurusan lakukan untuk merapatkan hubungan silatulrahim sesama staf di bawah satu bumbung. 

Bila ikuti kursus nie, masa untuk sepanjang hari sangat pack. Jadual memang penuh. Masa terluang yang ada hanyalah semasa waktu makan dan solat. Selebihnya memang fulltime duduk dalam kelas dan dengar sesi taklimat oleh pihak pengurusan. Di samping itu ada juga aktiviti LDK. Tujuannya adalah untuk memastikan semua peserta participate tanpa ada pengecualian. Kalo dengar taklimat je, leh tepu gak otak. Jadual kursus bermula jam 8 pagi sehingga jam 10 malam. Sebab tue kalo kursus dalam tempoh yang panjang sebegini mesti diselang-seli dengan aktiviti yang perlu dilakukan oleh peserta secara berkumpulan. Pada waktu petang pula, tentunya ada aktiviti riadah untuk mereggangkan sendi otot yang asyik dok dalam kelas je. Jadi boleh keluarkan peluh sedikit selepas lama sangat dok kat tempat beraircon. Jadi, itu la rutin kami peserta induksi untuk tempoh 16 hari di Pusat Latihan Kampung Gajah. Opsss...lupa plak nak bagi tahu perkara penting...kebiasaanya, jika mengikuti kursus yang sebegini, part yang paling menyeronokkan adalah waktu makan. Sebab apa? Sebab sepanjang kursus ini semua peserta akan diberikan makan sebanyak 6x dalam sehari - Sarapan Pagi | Minum Pagi | Makan Tengahari | Minum Petang | Makan Malam | Makan Lewat Malam. Pihak pengurusan sememangnya telah menjaga semua peserta dengan baik. Ianya bukan sesuatu yang mustahil untuk berat badan peserta boleh bertambah selepas abis kursus ini. Hahaha... Jadi kalo xnak naik berat lepas abis kursus kena pandai2 kawal pemakanan sendiri. Hihihi...

Kebiasaannya, sehari sebelum hari tamat kursus, semua peserta perlu membuat persembahan pada Majlis Malam Gala. Persembahan yang perlu dilakukan adalah persembahan berkumpulan. Jadinya, sehari sebelum hari terakhir, pihak pengurusan memberikan waktu bertenang yang panjang bagi memberi peluang kepada semua peserta untuk practice persembahan yang akan dipersembahkan pada Majlis Malam Gala.

Selepas pengumuman persembahan secara berkumpulan oleh Fasilitator Kursus, tiba-tiba Urus setia Pusat Latihan tersebut muncul dan memberikan maklumat tambahan. Maklumat tambahan yang diberikan adalah beliau melarang persembahan atau nyanyian yang berbentuk pemujaan; contohnya seperti ulik mayang atau nyanyian yang mempunyai muzik yang keterlaluan. Urus setia itu juga mengingatkan bahawa semua peserta perlu balik ke bilik masing-masing paling lewat jam 10 malam dan perlu tidur sebelum jam 11 malam. Pada masa itu, kami semua setuju je ikut apa jua peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak Urus setia. Al-maklumlah, kami datang tempat orang dan kena ikut cara yang ditetapkan oleh tuan rumah.   

Sesi latihan persembahan berkumpulan berjalan lancar. Kumpulan kami buat sketsa pendek dan nyanyi lagu patriotik je. Simple dan ringkas. Tak de la boombastik sangat persembahan kumpulan kami. Janji penuhi permintaan untuk mengadakan persembahan secara berkumpulan. 

Wow...rasanya macam panjang sangat mukadimah dan latarbelakang kisah kali nie. Maaf la iya...sebab sambil-sambil tue tengah dok fikir macam mane nak masukkan the main point of this story. Sebab tue merepek panjang-panjang untuk mukadimah dan latarbelakang horror story nie. 

So, next masuk scene selepas tamat Majlis Malam Gala. Sebelum Pengacara Majlis membuat ucapan penutup, Pengacara Majlis memaklumkan bahawa esok merupakan hari terakhir semua peserta di pusat latihan tersebut. Selain itu, esok juga akan diadakan peperiksaan bertulis kepada semua peserta untuk menguji kefahaman para peserta selepas tamat kursus selama 16 hari. Para peserta perlu lulus peperiksaan tersebut bagi melayakkan peserta memperolehi sijil penyertaan menghadiri kursus induksi. Apabila semua peserta mendengar amanat tersebut, masing-masing mengeluh. Sebab macam mana mereka hendak menjawab soalan sebab tidak sempat study. Aku juga salah seorang yang terasa tertekan dan berfikir sempat ke nak study malam nie?


Selepas semua bersurai dan balik ke bilik masing-masing, pada masa itu jam telah menunjukkan jam 10.15 malam. Aku dan kawan ku jalan laju-laju nak balik bilik. Bilik kami berdua berada di tingkat 3 - No. 301. Bangunan nie ada 3 tingkat je. Maknanya level bilik kami adalah yang paling atas. Selain itu, bilik kami ini attach bathroom dengan bilik 302. Jadi maksudnya, 2 bilik yang berbeza, tapi share 1 bathroom yang sama. Jadi kalo nak mandi, kena tunggu turn dan bergilir-gilir antara 4 orang. Malam tue aku yang sampai bilik dulu, so, aku cepat-cepat mandi. Sebab roommate aku tue nak rehat dulu untuk tunggu peluh kering baharu nak mandi. Bilik 302 nampaknya belum balik lagi. Maybe diorang chit-chat lagi di dewan dengan kawan-kawan lain. Al-maklumlah, malam terakhir sebelum balik ke rumah masing-masing. 

Usai mandi dan solat, jam dah menunjukkan pukul 10.35 malam. Aku baring-baring atas katil sambil belek-belek nota yang dah aku buat sepanjang kursus. Untuk refresh semula apa yang telah aku pelajari selama 15 hari berkursus. Al-maklumlah, esok nak exam nie. Pengsan la aku kalo tak lulus. Nanti tak pasal-pasal kena mengulang kursus induksi lagi. Kawan aku tue bila dia tengok aku dah bukak buku, dia baru bangun nak gi mandi. Katil dia bersebelahan dengan tingkap. Pandangan tingkap bilik aku mengadap padang bola; tempat kami beriadah waktu petang. 

Sambil-sambil membaca dan menghafal dan kadang-kadang terlelap. Mane tak penat, satu hari suntuk aktiviti full. Mestilah bila dah malam energy dah berkurang banyak. Bateri badan aku tinggal 20% je kot malam tue. Tapi aku gagahkan jugak la untuk mentelaah nota-nota yang ada. Sambil pejam mata...sambil menghafal...mulut terkumat-kamit hafal fakta-fakta penting. Sampaikan kawan aku tue tegur la...dah-dah la tue...kalo ngantuk tido je. Masa tue terkejut aku, bukak balik mata...tengok dia pun dah landing atas katil sambil pegang buku...Hahaha...

Jam dah menunjukkan pukul 11 malam. Nampaknye baru setengah jam masa berlalu. Tapi sebab aku dapat terlelap sekejap tadi, so, tetiba mata macam segar dah. So, aku pun meniarap atas katil tue dan buat latihan sedikit. Aku tengok kawan aku tue dah tertido dan muka tertutup dengan buku yang dibacanya. 

Bila dah malam nie, terasa sunyi sangat. Sampaikan bunyi air menitik dalam bilik air pun kuat bunyinya. Bunyi detikan jarum jam tangan aku pun aku boleh dengar. Punyelah sunyi betul malam tue. Tapi lagi sunyi, lagi mudah nak menghafal sebab tiada gangguan. Aku pun fokus meneruskan pembacaan aku. Pada masa ini la sesuatu yang diluar jangka berlaku...

Detikan jarum jam dan bunyi air menitik kadang-kala menggangu konsentrasi aku. Tapi aku bolayan...cuma fokus betul-betul dengan membaca nota-nota aku. Tiba-tiba bilik yang sejuk menjadi panas plak. Pada mulanya aku berselimut, tapi aku terpaksa buang selimut sebab rasa panas. Pada mulanya aku buat tak tahu je la...abaikan...masih fokus lagi. Kemudian, selain bunyik detikan jam dan bunyi air menitik, aku terdengar bunyi suis aircon dibuka (ON) dan aircon berfungsi dan bilik menjadi sejuk semula. Hati ku dah berdebar-debar. Sape plak yang tutup aircon tadi dan sape plak yang bukak aircon semula? Fokus aku untuk study dah tergugat dengan insiden yang tidak dijangkakan tue. 

Time tue aku cepat-cepat tutup buku dan baring berselimut. Untuk makluman, kami tido tak tutup lampu iya. Bilik terang benderang. Bila aku dah berselubung dengan selimut, tiba-tiba suis aircon makin kerap dimainkan. On..Off...On..Off...Tik...Tap...Tik...Tap...dan tiada bunyik bunyik air menitik dalam bilik air...dah tiada bunyik detikan jarum jam...hanya yang aku dengar pada ketika itu hanyalah bunyik suis aircon dimainkan berulang kali. Suhu bilik tue sejuk...panas...sejuk...panas...

Aku cuba untuk lelapkan mata ku...tapi tak boleh. Mata aku degil tak nak tido plak. Aku tengok jam tangan aku, masa tue jam menunjukkan pukul 11.04 malam. Tiba-tiba aku terdengar bunyi orang bertukang di atas. What? sape yang bertukang tengah-tengah malam nie? Lagipun nie level 3...atas nie ada bumbung je...so, sape yang dok ketuk-ketuk kat atas tue. Aku makin tak keruan time tue...rasa nak kejutkan kawan sebelah...tapi aku nak pusing ke kiri pun tak berani. Badan dah gigil-gigil. Bilik memang terasa sejuk gilerrr...Time nie la tetiba terniang-niang kata-kata Urus setia pusat latihan nie...pukul 11 malam semua dah kena tido dh. Jangan nak borak-borak dan gelak-gelak sampai larut malam. Tapi Urus setia tue tak de bagi tahu reason sebab apa dan kami masa tue tak ambil pot pun dengan kata-kata yang disampaikan. 

Gangguan masih berterusan...lepas abis bertukang, tiba-tiba terdengar bunyi dinding sebelah tingkap dekat katil kawan aku tido bunyi macam orang smash bola tennis pada dinding. Dumm...dumm...dumm...kuat gilerrrr...rasa macam bergegar bilik. Aku dah start nak nangis dah time tue...Bunyi tue berterusan sampai 1 jam lebih... Bunyi smash tue kadang-kala laju... dummm... dummm... dummm.... dan kadang-kala dumm..................... dumm.................... dumm.................. Aku pelik, kawan aku yang tido betul-betul sebelah tingkap tue tak dengar ke bunyi kuat macam tue. Aku rasa macam nak pecah dinding tue kena smash dengan bola bertubi-tubi. 

Aku dah ngantuk sangat...tapi mata aku tak boleh nak lelap. Aku rasa sangat-sangat terganggu dengan bunyi tue. Ayat kursi entah berapa banyak kali aku ulang pun aku tak tahu. Sampai mulut dah kebas la baca ayat kursi berulang-ulang kali. Huhuhu...hanya tue je yang mampu aku lakukan ketika itu. 

Tiba-tiba...bunyi smash bola dah makin perlahan-perlahan tetapi kerap. Entah kenapa time tue aku boleh terfikir petua orang lama-lama...Kalo kita dengar suara / apa-apa bunyi tue kuat, menandakan 'benda' tue berada jauh lagi. Tapi, kalo kita dengar suara / apa-apa bunyi tue makin perlahan, itu menandakan bahawa 'benda' tue telah dekat dengan kita. Nak tahu tak sebab apa aku terfikirkan petua tue...sebabnya...tiba-tiba aku terdengar suara mendengus yang kuat. Bunyi macam lembu jantan yang menghembus nafas dengan kuat. Aku terdengar bunyi tue hampir betul dengan aku yang tengah berselubung dengan selimut. Terasa sejuk sangat sampai ke tulang hitam. Pastue aku terdengar suara lelaki berkeruh yang kuat dari arah katil kawan aku tue. Aku pelik, tak kan la kawan aku tido berdengkur kuat macam tue. Sebab tadi tak de dengar pun kawan aku berkeruh macam tue sekali. Serentak ngan itu gak...tiba-tiba, suis aircon dimain-mainkan semula...dan kali ini diselang seli ngan gegaran katil tempat kawan aku tido. Terasa bunyi katil kawan aku bergegar dan ditarik sampai bunyik krikkk...krikkk...

Fikiran aku dah tak mampu berfikir dengan waras...aku takut 'benda' tue kan apa-apa kan kawan aku...so, aku kuatkan semangat...dan pusing badan aku ke kanan...aku selak pelan-pelan selimut yang menutupi aku...aku takut sangat kalo aku ternampak 'benda' yang tak sepatutnya aku nampak. Aku bukak mata aku slow-slow...intai disebalik selimut....

Aku tengok kawan aku tido ngan aman je...macam tak de apa-apa yang ganggu dia tido. Aku kuatkan semangat dan bangun dari katil...aku kejutkan kawan aku...

"Kak Ros...Kak Ros...bangun la Kak Ros..." time nie air mata dah menitik keluar dah...

"Hmmm...nape nie...tak boleh tido ke?" Kak Ros tanye sambil mata dia terbuka skit...

Aku hanya mampu anggukkan kepala je...

"Hmmm...tak pe...tak pe...jom tdo kat bawah sama-sama...tak de apa-apa..." jawab Kak Ros sambil tangan dia ambil bantal dan tido kat bawah. Aku pun ambil bantal aku dan tido bawah sebelah dia. Aku tido mengadap Kak Ros...

Lepas Kak Ros bangun, macam semua bunyi-bunyi tue dah hilang...suhu bilik macam dah balik ke asal...tak panas sangat dan tak sejuk sangat...Tapi aku masih takut lagi nak lelapkan mata. Jam masa tue kul 2.04 pagi... Aku tak sedar bila masa aku dah terlelap...Aku sedar bila jam handphone berbunyi jam 5.30 pagi. 

Pagi tue Kak Ros tanya aku bile aku dah siap mandi dan solat. "Malam tadi kenapa? Ada apa-apa yang jadi ke malam tadi?" 

Aku hanya cakap aku kena kacau malam tadi. Aku tak cerita panjang lebar pun sebab aku takut 'benda' tue dengar aku mengata pasal dia. Huhuhu...

Jam dah menunjukkan jam 7.15 pagi. Kami berdua keluar bilik menuju ke dewan makan. Exam start jam 9.00 pagi, so ada masa lagi kalo nak baca apa-apa untuk kali terakhir. 

Masa aku dan Kak Ros masuk dewan exam...dah ada 2-3 kumpulan dah lepak-lepak dalam tue. Tiba-tiba ada persoalan dari dorang..."eh, korang, malam tadi korang boleh tido ke?" persoalan tue diajukan kepada kami berdua. Kak Ros bagi tahu aku tak leh tido...kena kacau. Masa tue terus terbukak cerita. Rupanya bukan aku sorang je yang kena, geng bilik Tingkat 2 pun kena. Diorang siap baca Yassin dalam bilik malam tue. Diorang pun dengar bunyi orang smash bola kat dinding dan macam-macam gangguan lagi. 

Pastue bile team lelaki masuk...mereka punya cerita lagi seram...team budak-budak lelaki duduk kat rumah banglow. Satu rumah boleh muat 10 peserta. Peserta lelaki dok kat banglow sebab jumlah peserta lelaki tidak seramai peserta perempuan. Jadinya peserta lelaki dok kat 5 banglow yang berasingan. 

Kawan opis aku yang lelaki bagi tahu mereka telah diganggu oleh cik ponti malam tue selepas abis majlis. Al-kisahnya, kawan aku nie dia balik banglow berseorangan kerana yang lain-lain masih belum selesai berborak. Jadi, bila dia balik tue...terus dia on TV dan dia nak gi mandi. Masa dia keluar dari bilik, tetiba dia terpandang ada lembaga berjubah putih dan rambut panjang tengah dok bertenggek atas TV. Rambut yang panjang tue menutupi muka lembaga tue. Kawan aku nie tak cepat melatah...dia pun konon-konon buat tak nampak...dan gerak pelan-pelan ke pintu. Pastue...apa lagi dia lari pecut ke banglow sebelah. Masa dia lari tue...dia terdengar hilaian cik ponti yang sungguh menyeramkan...

Habis kisah seram di Pusat Latihan Kg. Gajah....Kami semua telah mengambil exam pagi tue bermula jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengahari iaitu selama 3 jam untuk 80 soalan objektif dan 3 soalan esei pilihan. Soalan esei perlu jawab 2 soalan sahaja. 

Selepas tamat exam, semua peserta perlu kemas barang-barang dan turun ke dewan makan untuk makan tengahari. Kami bertolak pulang selepas selesai solat zohor. Kisah aku dan rakan-rakan lain yang diganggu menjadi perbualan sepanjang perjalanan balik dalam bas. Time tue baharu la tahu bahawa tempat tue sememangnya 'keras'. Dah banyak kejadian-kejadian gangguan yang dialami oleh para peserta. Batch sebelum kami kena ganggu lagi teruk sampai kena histeria. Puncanya adalah mereka buat persembahan ulik mayang pada Majlis Malam Gala. Kebetulan pelakon utama tue tengah ABC, so, memang benda-benda halus nie suka la...sebab tue Urus setia pusat latihan bagi peringatan tiada persembahan pemujaan pada Majlis Malam Gala untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berulang lagi. 

Jadi, azam aku adalah macam mana pun aku kena lulus exam tue. Wajib lulus... sebab aku tak nak datang lagi kat tempat nie untuk mengulang semula untuk tempoh 16 hari lagi. Aku doa dan doa...supaya aku lulus. Walaupun tak cemerlang, yang penting LULUS.

Selepas 3 bulan berlalu, keputusan dikeluarkan...dan Alhamdulillah aku Lulus dengan Cemerlang. Syukur sangat-sangat. Rasa berbaloi dengan dugaan gangguan yang aku alami pada malam terakhir di Pusat Latihan Kg. Gajah. 

************************************

Selepas 11 tahun berlalu...aku memang dah tak pernah jejakkan kaki kat Pusat Latihan Kg. Gajah lagi. Aku seboleh-bolehnya akan cuba elakkan untuk pergi kursus di Pusat Latihan Kg. Gajah. Selama 11 tahun nie aku berjaya elak dari pergi ke sana. 

Tapi pada 15 Februari 2020, aku telah terima sepucuk surat dari pihak pengurusan...Tahniah anda telah dinaikkan pangkat dan penempatan baharu anda adalah di Pusat Latihan Kg. Gajah, Perak. Anda dikehendaki melapor diri pada 1 Mac 2020. 

What?! Omaigot...I don't want to go there...I don't want...


The end.


*************************************


Published di Group FB : Fiksyen Shasha Group pada 17 Mei 2020

  
Published di Group FB : Kelab Cerita Hantu Malaysia pada 17 Mei 2020


No comments:

Post a Comment

Awan Hitam

Awan Hitam Bosan... Bila nak balik nie... Penat melayan kerenah manusia... Topeng berlapis-lapis Sampai lupa wajah sebenar yang mana Benci.....