14
April 2020 – Mersing, Johor
Pagi
Jumaat terasa sejuk hingga ke tulang. Hujan masih turun dengan lebat di luar.
Tiada tanda-tanda akan berhenti. Kemungkinan akan berlanjutan sehingga ke
petang. Suasana yang sedih dan muram dalam rumah kosong ini sama seperti
suasana di luar sana. Seperti awan yang sedang menangis untuk membasahi bumi
yang nazak dengan onar yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia yang kejam dan
pentingkan diri sendiri.
Kehilangan
Hazim 5 hari yang lepas masih belum dapat dilupakan lagi. Orang tua-tua kata,
tanah kubur masih merah lagi. Kesedihan yang terbuku di hati masih belum dapat
dilupakan. Semuanya umpama mimpi dan masih belum dapat menerima kenyataan untuk
kehilangan Hazim secara mengejut. Masih segar diingatan, kali terakhir Hazim
menghubungiku pada 18 Mac mengatakan bahawa dia akan balik ke kampung dalam 7
hari lagi untuk menyambut Hari Ulang Tahun Kelahiranku pada 14 April. Hazim
berjanji akan membelikan Kek Chocolate Indulgence untukku sempena hari istimewa
itu nanti. Hazim juga telah berjanji untuk memasak menu istimewa untukku. Hazim
akan melayan aku seperti permaisuri pada hari itu. Itu janji Hazim untukku. Itu
janji Hazim kepadaku. Itu janji Hazim yang telah membuatkan aku
tertunggu-tunggu tarikh 14 April 2020.
22 Mac
2020 – Pusat Perubatan Universiti Malaya
Tapi,
semuanya musnah apabila aku terima panggilan daripada pihak hospital 3 hari
selepas terima panggilan daripada Hazim.
“Assalamualaikum,
ini kakak kepada Muhammad Hazim bin Hamzah ke? Untuk makluman, adik cik telah
dimasukkan ke wad untuk terima rawatan rapi kerana telah dijangkiti virus
Covid19. Harap cik bertenang dan tabah menerima berita ini. Pihak kami akan
cuba sedaya upaya kami untuk membantu adik cik.”
Terasa
duniaku gelap sebentar selepas menerima panggilan yang di luar jangkaan itu.
Banyak persoalan yang bermain-main difikiranku. Kenapa? Mengapa? Bagaimana?
Semuanya berlegar-legar difikiranku untuk menghadam kata-kata dari panggilan
telefon sebentar tadi. Kemungkinan disebabkan terlalu terkejut, tiada air mata
pun yang tertumpah selepas mendengar berita yang menyedihkan itu. Pihak
hospital memaklumkan bahawa mereka akan hubungi semula bagi memaklumkan
perkembangan kesihatan Hazim dari masa ke semasa.
Urusan
kerja pada hari itu terasa kosong dan tidak bermaya. Fikiranku hanya memikirkan
keadaan Hazim sahaja. Pihak hospital memaklumkan bahawa ahli keluarga tidak
boleh datang untuk melawat pesakit. Ini kerana penyakit ini telah diwar-warkan
sebagai penyakit Pandemik oleh World Health Organization (WHO) pada 11 Mac
2020. Tambahan pula kerajaan Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan bahawa
tarikh kuat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac 2020. Aku
terpaksa akur dengan peraturan yang telah ditetapkan, walaupun hati ini
meronta-ronta untuk segera terbang menemui Hazim yang keseorangan menanggung
kesakitan. Tapi apakan daya, hanya doa dari kejauhan yang mampu untuk aku kirimkan
semoga dikurniakan kesembuhan untukmu Hazim.
28 Mac
2020 – Pusat Perubatan Universiti Malaya
Seminggu
selepas menerima panggilan pertama daripada pihak hospital, lagi sekali aku
telah menerima panggilan dan kali ini panggilan video. Jururawat yang
bertanggungjawab menjaga Hazim telah menunjukkan keadaan Hazim pada ketika itu.
Hazim kelihatan pucat dan tidak bermaya. Walau bagaiamanpun, Hazim cuba untuk
senyum walaupun dalam kesakitan. Aku cuba untuk tidak menangis kerana aku tidak
mahu membuat Hazim lebih susah hati dan sedih melihat keadaanku yang
menyedihkan.
“Akak
apa khabar? Sihat ke? Maafkan Hazim kak sebab tak dapat tunaikan janji-janji
Hazim kat akak. Hazim pun tak sangka akan jadi macam ni. Hazim minta maaf kak.
Hazim minta maaf. Halalkan makan dan minum Hazim kak. Hazim cuba untuk kuat
kak, tapi Hazim tak tahu sama ada kudrat Hazim mampu untuk bertahan atau tidak.
Hazim takut Hazim tak dapat jumpa akak lagi.”
Pada
saat dan ketika tu, aku hanya mampu mendengar sahaja kata-kata yang diucapkan
oleh Hazim. Aku ingin mengabadikan suara Hazim dalam ingatanku. Aku cuba sedaya
upaya untuk tidak mengalirkan air mata. Tapi aku tidak mampu kerana bagiku
hanya Hazim sahaja yang ada dalam hidup aku. Jika aku kehilangan Hazim, maka
aku akan keseorangan dalam dunia ini. Keseorangan. Iya, keseorangan. Aku tak
sanggup untuk memikirkan sebarang kebarangkalian yang akan berlaku dan aku tak
nak fikirkannya langsung. Aku tak nak.
3
April 2020 – Mersing, Johor
Pada
malam yang dingin, aku bangun sepertiga malam untuk bertemu dengan Ar-Rahman
dan Ar-Rahim untuk mengadu segala kesedihan yang terbuku. Aku lampiaskan segala
kesedihan dan keberserahanku sepenuhnya kepada Yang Esa. Hanya Dia sebaik-baik
tempat pengaduan, sebaik-baik tempat bergantung dan pengharapan yang sebenar. Tiada
tempat yang terbaik selain daripada Dia – Yang Maha Kuasa dan Maha Bijaksana.
Setiap
hari aku pasti akan hantar pesanan melalui aplikasi whatapps untuk berikan
kata-kata semangat untuk Hazim. Aku hantarkan video keadaan rumah dan kampung
untuk Hazim tonton. Walaupun semua pesanan-pesananku tidak berbalas, tetapi
tiada satu hari pun akan berlalu tanpa penghantaran pesanan untuk Muhammad
Hazim bin Hamzah. Bagiku itu sahaja cara yang mampu aku lakukan selain dari
berdoa, agar Hazim tahu bahawa aku sentiasa bersama-sama dengan dia demi
menempuh hari-hari yang berlalu walaupun ada jarak yang memisahkan.
Pihak
hospital memaklumkan keadaan Hazim kadang kala stabil dan kadang kala tidak.
Virus itu telah merosakkan peparu Hazim yang menyebabkan Hazim mengalami kesukaran
untuk bernafas. Hazim telah dimasukkan ke wad ICU untuk menerima rawatan
menggunakan ventilator. Aku hanya mampu menangis dan berdoa selepas menerima
panggilan itu. Pihak hospital tidak melakukan panggilan video kerana pihak
hospital hendak menjaga perasaan aku. Aku pasti tidak sanggup melihat kesakitan
yang dialami oleh Hazim pada ketika itu. Pihak hospital banyak memberi sokongan
moral dan minta aku tabah dan bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan yang
akan berlaku.
9
April 2020 – Pusat Perubatan Universiti Malaya
Khamis
malam, aku menerima panggilan daripada pihak hospital. Terasa ada debaran di
dadaku. Aku takut untuk menjawab panggilan telefon. Aku risau ada perkhabaran
yang menyedihkan lagi daripada pihak hospital.
“Assalamualaikum
akak. Hazim ni.” Kedengaran suara yang aku rindui. Terdengar suara yang lemah
dan sayu di hujung talian sana.
“Waalaikumsalam
Hazim. Hazim sihat ke? Keadaan Hazim dah bertambah baik ke?” Soalan aku
bertalu-talu untuk Hazim.
“Alhamdulillah
akak. Rasa macam ok sikit hari ni. Sebab tu Hazim telefon akak ni. Akak kena
doakan Hazim selalu iya, walaupun Hazim jauh” jawab Hazim dengan nada yang
ceria walaupun masih terdengar pernafasan Hazim yang sedikit sukar.
“InsyaAllah,
Hazim. Memang Hazim sentiasa ada dalam doa akak. Tak putus-putus akak doakan
untuk dikurniakan kesembuhan untuk Hazim. Akak harap sangat Hazim dapat balik
sebelum tarikh ulang tahun kelahiran akak nanti. Hazim kena tabah dan berdoa
juga iya. Hazim kena terus kuat dan cekal untuk lawan penyakit Hazim tu.” Aku
masih menaruh harapan untuk Hazim sembuh dan balik ke kampung untuk menunaikan
janji-janjinya.
“InsyaAllah
kak, Hazim akan cuba yang terbaik. Akak, Hazim nak nyanyikan lagu untuk akak
ni. In advance omputih cakap.” Terdengar suara Hazim ketawa kecil di hujung
talian sana. Hatiku berbunga sikit bila terdengar suara Hazim ketawa. Rasa lega
dan hilang sebentar kesedihan yang dialami sebelum ini.
“Allah
selamatkan kamu…Allah selamatkan kamu…Allah selamatkan Nur Hazimah Hamzah…Allah
selamatkan kamu…Happy Birthday to You….Happy Birthday to You…Happy Birthday to
Kakak ku Sayang…Happy Birthday to You…Selamat Ulang Tahun ke-27 kakak ku sayang
in advance. Semoga dikurniaan kebahagian dan kegembiraan selamanya. Aamiin.”
Hati
ku sayu bila teringat saat-saat itu. Rakaman panggilan pada hari itu aku ulang
dan ulang dan ulang beribu kali bila setiap kali kerinduan datang mengamit
dihati. Itu adalah panggilan yang terakhir daripada Hazim. Allah berikan
kesembuhan sementara untuk Hazim berikan hadiah yang terakhir untukku. Hadiah
lagu ulang tahun kelahiranku untuk kali terakhir. Suara Hazim yang terakam itu
adalah pengubat untuk aku tempuh hari-hariku yang sunyi dan muram selepas pemergiannya.
10
April 2020 – Pusat Perubatan Universiti Malaya
“Maaf,
kami ingin memaklumkan bahawa adik cik, Muhamad Hazim bin Hamzah telah
meninggal dunia pada jam 10.02 pagi tadi. Diharap cik tabah dan sabar menerima
berita ini. Segala urusan pengebumian akan diuruskan oleh pihak hospital.
Memandangkan adik cik ini merupakan pelajar Universiti Malaya, maka segala
urusan perbelanjaan telah ditanggung sepenuhnya oleh pusat pengajian dan juga
kerajaan.”
Duniaku
gelap terasa kosong dan tidak bermakna. Satu-satunya waris yang ada di dunia
ini telah dijemput oleh sang pencipta-Nya paga pagi Jumaat yang sejuk dan
suram. Air mata mengalir tiada hentinya. Menangisi kehilangan dan menangisi
diri sendiri yang menyedihkan kerana tiada kemampuan untuk berjumpa dengan
Hazim buat kali terakhir. Jiwa menjadi kosong dan kosong dan kosong.
Aku segera
berwuduk untuk berjumpa dengan Ar-Rahman dan Ar-Rahim untuk melampiaskan semua
kesedihan dan kepasrahan jiwa kepada Ya-Robbi. Hanya Dia tempat sebaik-baik
pengaduan yang ada dan tidak akan mengecewakan. Walaupun jiwa telah kosong,
tapi kekosongan itu perlu diisi dengan keimanan yang suci dan menyakini bahawa
ketentuan sang pencipta-Nya adalah yang sebaik-baik takdir. Sepanjang hari
sehingga selesai jenazah dikebumikan, aku masih setia di atas sejadah untuk aku
kirimkan sebanyak-banyaknya kiriman untuk Muhammad Hazim bin Hamzah. Insan
kesayanganku yang telah dijemput oleh-Nya. Semoga ketenangan menjadi milikmu
Hazim. Semoga kau tergolong dalam insan pilihan dan ditempatnya bersama-sama
golongan yang mukmin. Kehilanganmu Hazim sememangnya kesedihan untukku, tapi ia
juga adalah untuk kebaikan bagi dirimu kerana aku tidak sanggup memikirkan
kesakitan yang kau tanggung seorang diri tanpa ada sesiapa di sisimu Hazim.
Jika kematian boleh membuat kamu hilangkan kesakitanmu, aku sebagai kakakmu
merelakan pemergianmu. Semoga kau telah menemui ketenangan yang abadi di sana.
Aamiin.
“Assalamualaikum…ada
orang kat rumah tak?”
Lamunanku
terhenti bila terdengar suara orang memberikan salam. Aku cepat-cepat ke sinki
membasuh mukaku yang basah dengan air mata. Keringkan muka dengan tuala pink
yang tersidai di bangku. Bergegas keluar untuk melihat siapa yang datang
pagi-pagi di kala hujan tengah lebat di luar.
“Waalaikumsalam.”
Sambil aku mengintai di tingkat untuk melihat siapa yang di luar. Kelihatan
seorang budak lelaki yang basah kuyup sambil memegang sekaki payung yang
berkeadaan sangat uzur. Payung itu tidak mampu untuk melindungi si pemakai lagi
dan sepatutnya tidak boleh digunakan pun.
Lantas
pintu ku buka untuk ku tanya lebih lanjut apa keinginan dia sehingga sanggup
meredah hujan. Kemungkinan ada kecemasan yang memerlukan pertolongan segera.
Memandangkan hujan lebat dengan angin yang kuat, maka aku menjemput budak yang
tidak dikenali masuk ke rumah. Aku ambil tuala Hazim dan aku berikan kepada
budak itu untuk keringkan baju yang kebasahan. Aku anggarkan umur budak tu
dalam lingkungan 10-11 tahun. Bermacam soalan bermain dibenakku. Siapa? Kenapa?
Mengapa? Bagaimana? Tapi, semua itu hanya dalam mindaku sahaja. Aku kasihan
melihat budak yang sedang menggigil kesejukan. Lebih baik biarkan keadaan budak
yang tidak dikenali itu lebih baik sedikit sebelum aku utarakan pelbagai
persoalan kepadanya.
Selepas
budak itu selesa dengan pakaian kering milik Hazim dan duduk sopan di ruang
tamu sambil menghirup air coklat panas, aku ajukan soalan pertamaku. Siapa nama
dia dan dari mana datangnya?
“Nama
saya Abdul Azim bin Azman, umur 11 tahun dari Rumah Penyayang Anak-anak Yatim.
Saya baharu sampai ke kampung ni. Saya datang sini untuk cari mak saya. Saya
dapat alamat kampung ni dari rekod peribadi saya. Nama mak saya Siti Rokiah
Mansor.”
“Kamu
lari dari Rumah Penyayang ke? Kenapa akak tak nampak beg kamu pun. Bagi tahu
betul-betul jangan nak tipu akak.”
“Iya,
saya lari dari Rumah Penyayang sebab saya nak cari mak saya. Saya kumpul duit
yang saya terima dari kerja-kerja yang dah saya buat untuk saya cari mak saya.
Akak tolong la saya cari mak saya. Saya nak sambut Ramadhan dengan mak saya.”
Aku
termanggu sebentar. Apa pula perancangan-Nya untuk aku kali ini. Selepas
kehilangan adik kesayanganku, secara tiba-tiba muncul seorang budak yang tidak
dikenali dan meminta pertolongan dariku. Adakah ini ubat penyembuh untukku agar
tidak terlalu memikirkan kehilanganku. Atau adakah ini hadiah dari-Nya sempena
ulang tahun kelahiranku yang sepatutnya aku sambut dengan Hazim di sini? Aku
sendiri tiada jawapan untuk persoalanku itu kerana aku yakin Allah Maha Kuasa
dan Maha Bijaksana dalam perancangan untuk hamba-Nya.
“Baiklah,
untuk hari ini adik duduk la dulu kat rumah ni. Lagipun hujan lebat tu. Nanti
akak fikirkan macam mana nak bantu adik. Dah rehat-rehat la dulu. Akak nak buat
sarapan. Adik laparkan?” Dia hanya menganggukkan kepala sahaja sebelum aku
berlalu ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi untuk kami berdua.
Pintu
peti sejuk ku buka, banyak stok makanan telah aku beli sebagai persediaan
menunggu Hazim balik. Macam-macam aku sediakan sebab Hazim janji nak masak menu
istimewa untukku. Tapi, semuanya telah tiada. Aku hampir lupa bila kali
terakhir aku masuk ke dapur dan masak untuk diriku sendiri. Aku sedar berat
badanku telah menyusut sedikit kerana tidak menjaga pemakanan ku semenjak Hazim
meninggal. Aku hanya mampu makan biskut dan roti sahaja untuk mengalas perut.
Masa-masaku banyak ku habiskan di atas tikar sejadah untuk ku hantarkan kiriman
kepada Hazim di sana. Tiada sesaat pun hari ku berlalu tanpa memikirkan Hazim
di sana. Kerinduan yang menyakitkan adalah kerinduan kepada insan yang telah
tiada. Kerinduan itu hanya boleh dititipkan dengan doa-doa kepada yang telah
tiada. Kerinduan yang akan berkekalan dan tiada berpenghujung.
Tapi
nampaknya hari ini aku telah menerima kedatangan tetamu kecil yang dalam
kesusahan. Dalam Islam, setiap tetamu yang datang ke rumah perlu diraikan. Ini
kerana setiap tetamu yang hadir itu akan membawa berkat dan rezeki kepada tuan
rumah dan membawa keluar musibah dan keburukan dari rumah itu. Maka, aku pun
menyediakan sarapan yang terbaik untuk dijamukan kepada tetamu kecil itu.
“Adik
Azim, meh sini sarapan kat dapur.” Panggilku kepada tetamu kecil. Tak sampai 5
minit Azim muncul sambil tersenyum-senyum malu. Mungkin dia lapar sangat tapi
dia segan nak tunjukkan. Azim duduk dengan tertib di tempat yang telah aku
sediakan semangkuk nasi goreng kampung. Azim meletakkan mug air coklat panas
tadi yang telah kosong di sebelahnya. Aku ambil mug itu dan mengisikan dengan
air coklat semula.
“Apa
yang ditenung tue, jemputlah makan. Jangan malu-malu. Akak tahu Azim laparkan.”
Ucapku sambil mensuakan piring drumet goreng kepada Azim untuk diambil.
“Terima
kasih kak. Bismillahirahmannirohim.” Disambung dengan bacaan doa makan dan aku
turut mengaminkan bacaan doa makan itu.
Aku
perhatikan sangat tertib tetamu kecil ini. Kemungkinan dia telah mendapat
didikan yang sempurna di Rumah Penyayang itu. Mungkin juga dia mempunyai
kisahnya yang tersendiri yang belum diceritakan kepadaku lagi. Mungkin juga ini
adalah kurniaan dari Illahi untuk aku merawat kesedihan yang baharu aku alami.
Segalanya memungkinkan dan kemungkinan yang masih lagi dalam andaianku. Segala kemungkinan
ini akan menjadi pasti apabila selepas mendapat penjelasan dari tetamu kecil
ini. Aku nikmati sarapan pada pagi itu dengan tenang dan tiada perbualan antara
aku dan tetamu kecil itu. Aku tidak mahu pertanyaanku nanti boleh memutuskan
selera tetamu kecil ini. Aku nak dia kenyang dan akan menceritakan kisahnya
sendiri tanpa perlu aku tanya.
Selesai
sahaja sarapan, Azim tanpa disuruh telah membawa pinggan dan mangkuk yang
digunakan ke sinki dan membasuhnya. Aku telah melarang, tapi dia mengatakan bahawa
orang berbudi, kita kenalah berbahasa. Jadi sebab itu dia dengan rela hati
membasuh semua pinggan dan mangkuk yang digunakan sendiri. Keinginan untuk aku
mengetahui kisah Azim makin meningkat. Ini kerana cara pemikiran Azim melebihi
usianya. Adakah dia telah melalui kehidupan yang mencabar dan sukar
menyebabkannya perlu menjadi lebih dewasa berbanding dengan usianya yang
sebenar?
“Oklah,
Azim duduk kat ruang tamu iya. Bacalah apa-apa buku kat rak buku tu kalau
bosan. Ada komik Detective Conan, Dragon Ball, Slam Dunk…macam-macam ada. Tu
semua koleksi komik adik akak. Akak nak kemas-kemas dapur ni. Nanti akak dah
free, kita borak-borak iya.”
Tanpa
membantah, tetamu kecil berlalu ke ruang tamu dan mengambil senaskah komik
untuk dibaca. Aku hanya memerhatikan dari arah dapur sahaja melihat ulah tetamu
kecil yang tidak diundang. Kesedihan aku kehilangan Hazim berkurangan sedikit,
sebab Allah telah pesongkan perhatianku kepada tetamu kecil ini.
Perdana
Menteri Malaysia ada mengatakan bahawa semua orang perlu mengubah norma
kehidupan kepada ‘the new normal’ atau
normal baharu untuk menjalani kehidupan yang akan ditempuhi selepas tamat
serangan wabak Covid19. Semua cara kehidupan yang sebelum ini perlu diubah
untuk membendung penularan semula wabak Covid19 yang telah membunuh ratusan
ribu nyawa di seluruh dunia.
Adakah
aku juga perlu mengubah norma kehidupan aku untuk
menempuhi hari-hariku semenjak aku kehilangan Hazim? Aku serahkan semua masa
depan dan perjalanan hidupku kepadamu Ya Allah…Engkau Yang Maha Mengetahui lagi
Maha Bijaksana. Engkaulah penentu segalanya. Aku pasrah dan berserah…
No comments:
Post a Comment