Sememangnya pandemik COVID-19 ini telah memberi kesan yang besar kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira golongan lapisan masyarakat serta semua pekerja baik di sektor swasta mahu pun di sektor awam. Sejajar dengan kemunculan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), pekembangan teknologi yang boleh dikategorikan sebagai disruptif positif di kalangan golongan muda belia telah menjadi pemangkin dalam era teknologi digital. Gelombang perubahan yang ketara ini telah mendorong rakyat dan kerajaan untuk terus memacu misi dan visi ke arah mengadaptasikan pendigitalan dalam semua aspek kehidupan seharian sama ada urusan peribadi mahu pun urusan pekerjaan.
Untuk menghadapi transformasi digital
secara keseluruhan, setiap individu dalam masyarakat perlu memainkan peranan
masing-masing serta berusaha untuk membuat penyesuaian dan bekerjasama bagi
menghadapi norma baharu dalam kehidupan. Setiap perubahan yang berlaku dalam
kehidupan adalah sukar untuk dilakukan. Ini disebabkan sesuatu yang di luar
kebiasaan ini pada awalnya akan menjadi halangan dan cabaran yang perlu
dihadapi. Walau bagaimanapun, setiap dalam masyarakat perlu berani membuat satu
anjakan paradigma yang besar dalam menghadapi perubahan baharu demi meningkatkan
kualiti hidup rakyat Malaysia dari segi sosial dan ekonomi.
Sektor pekerjaan yang melibatkan pengurusan
dan pentadbiran pejabat juga antara sektor yang tidak terkecuali dalam era
pendigitalan. Walau bagaimanapun, sektor pengurusan dan pentadbiran pejabat,
sememangnya telah berada di landasan yang betul iaitu ke arah pendigitalan.
Arahan pendigitalan ini ada diwartakan dalam Dasar dan Garis Panduan ICT Sektor
Awam yang dikeluarkan oleh Malaysian
Administrative Modernisation and Management Planning Unit (MAMPU). Bermula
dari tahun 1977 hingga 31 Jun 2017, sejumlah 49 pekeliling ICT telah
diterbitkan oleh MAMPU untuk dijadikan sebagai garis panduan dan rujukan oleh semua
sektor awam. Antara pekeliling yang dikeluarkan adalah merangkumi bidang yang berbeza
iaitu Pengurusan Maklumat, Perancangan dan Strategi ICT, Rangkaian dan
Komunikasi dan Keselamatan ICT.
Berdasarkan kepada jumlah
pekeliling ICT yang telah dikeluarkan oleh MAMPU, ini membuktikan bahawa pihak
kerajaan amat menyokong dan berusaha untuk memastikan semua sektor awam
mempunyai misi dan visi yang sama bagi mencapai proses pendigitalan dalam
setiap bidang. Walaupun teknologi automasi ini memberi cabaran baharu kepada
semua sektor di negara ini, tetapi setiap individu masyarakat perlu melakukan
perubahan agar ianya seiring dengan tranformasi digital untuk kekal berdaya
saing dalam merancakkan kemajuan lanskap dunia moden.
Secara keseluruhannya, semua sektor
pekerjaan perlu menghadapi era pendigitalan. Sekiranya terdapat sektor yang
tidak mengikuti perkembangan IR 4.0 ini, ianya boleh memberi kesan negatif
kepada individu tersebut dan juga kepada organiasasi. Antara organiasi
terkemuka yang terkesan dengan perubahan teknologi adalah Nokia pada tahun
2013. Antara punca kegagalan Nokia adalah kelemahan pada pengawalan perubahan
teknologi mengikut arus zaman; di samping kelemahan pada pengurusan tertinggi.
Disebabkan kegagalan ini, sebuah organisasi yang besar tewas dengan perubahan
teknologi yang pesat.
Cara yang terbaik untuk memastikan setiap
sektor pekerjaan berada dalam landasan yang betul dalam mengharungi cabaran
perkembangan teknologi yang lebih kompleks adalah dengan merangka strategi
pembangunan kerjaya baharu. Analisis dan big data, integrasi sistem, penggunaan
cloud, Internet of Things (IoT), keselamatan siber serta kesiapsiagaan pekerja
dari segi mental, fizikal serta infrastruktur peralatan IT perlu diberikan
perhatian oleh pihak majikan bagi memastikan kerangka pelan strategi
pembangunan modal insan ke arah perkembangan teknologi yang lebih berkesan.
Setiap individu masyarakat dari semua
lapisan generasi dan umur perlu membuang sikap teknofobia dalam diri dan berani
dalam memberikan anjakan paradigma dalam menjalankan tugasan harian sebagai
seorang pekerja; baik dalam sektor swasta mahu pun sektor awam. Pihak majikan
perlu memainkan peranan yang penting dalam memperkasakan perancangan strategi
sumber manusia dengan memberi tumpuan kepada strategi untuk mengekalkan bakat
dalam organisasi. Dalam konteks ini, pihak majikan perlu kenalpasti individu
yang berupaya mengadaptasi perubahan, bersikap positif serta bersedia memikul
tanggungjawab dan amanah yang lebih besar di masa akan datang.
Ini kerana perubahan kepada era
pendigitalan membawa maksud bahawa setiap individu tersebut perlu memikul
tanggungjawab yang besar melibatkan nilai individu yang tinggi. Nilai individu
yang perlu diterapkan adalah perlulah mempunyai sikap Integriti yang tinggi.
Ini kerana dalam era teknologi banyak isu yang melibatkan penipuan dan
pemalsuan dapat dilakukan dengan mudah. Kecanggihan teknologi juga boleh
memberi kesan yang negatif kepada pengguna sekiranya digunakan dengan cara yang
tidak betul. Kadar kebergantungan manusia kepada teknologi semakin tinggi pada
tahun 2020 ibarat aur dan tebing dan seperti isi dan kuku. Oleh yang
demikian, sikap berintegriti dalam menjalankan tugas perlu dititik beratkan
oleh pihak majikan agar data dan maklumat yang disimpan dan direkodkan adalah
benar dan tiada pemalsuan.
Memandangkan pandemik COVID-19 ini
merupakan salah satu faktor yang melonjak revolusi IR 4.0 secara trek pantas,
justeru terdapat organisasi yang masih bertatih dalam memantapkan sistem
pengurusan perubahan di organisasi masing-masing. Ini kerana bukan semua
organisasi telah bersedia dengan perubahan drastik yang berlaku dalam dunia
masa kini. Oleh yang demikian, antara inisiatif yang telah dilaksanakan oleh
pihak kerajaan adalah merangka pelan hala tuju strategik kebangsaan tentang
Internet of Things (IoT) yang diterajui oleh National Applied R & D Centre (MIMOS). Melalui pelan ini
sejumlah RM9.8 billion kepada pendapatan negara kasar diunjurkan pada tahun
2020 beserta pengwujudan sebanyak 14,270 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Secara kesimpulannya, bagi memastikan
sesuatu perubahan itu dapat dilakukan dengan baik, sokongan dan dorongan adalah
sangat diperlukan daripada semua pihak. Setiap individu, masyarakat dan juga organisasi
perlu membuat perubahan secara disruptif melalui anjakan paradigm serta memainkan
peranan masing-masing bagi memastikan era pendigitalan ini dapat direalisasikan
dengan jayanya. Secara tidak langsung ianya dapat membantu sesebuah organisasi untuk
menapak maju ke hadapan dalam mengharungi dunia era baharu IR 4.0.
No comments:
Post a Comment