16 Mac
2020 – Perutusan Khas Perdana Menteri mengenai Covid19
“Kerajaan memutuskan untuk
melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mulai 18 Mac 2020, iaitu lusa
hingga 31 Mac 2020, di seluruh Negara. Perintah kawalan ini dibuat di bawah
Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.
Perintah Kawalan Pergerakan ini meliputi …” berkumandang suara Perdana Menteri Malaysia yang ke-8 YBhg.
Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi saluran Astro Awani. Raut wajah dan suara
yang penuh kesedihan dan kerisauan dengan keadaan negara Malaysia yang sedang
dilanda musibah wabak Covid19. Keputusan PKP ini terpaksa dilakukan kerana
keadaan pesakit di Malaysia yang semakin meningkat dan ianya cukup
membimbangkan. Oleh yang demikian, objektif utama PKP adalah untuk memutuskan
rangkaian jangkitan wabak Covid19.
“Mak…oh
mak…PM umumkan PKP ni mulai 18 Mac. Mak, mak dengar tak…mak, mana mak ni…hmmm…”
sambil bangun menuju ke dapur mencari Mak Kiah
yang entah di mana.
“Apa
ni, terjerit-jerit…ingat awak tu anak dara…terjerit-jerit tengah malam. Mak
dalam bilik air tadi, tak dengar. Haa…ada apa? PM umumkan apa malam-malam ni?”
jawab Mak Kiah sambil melangkah keluar dari bilik air.
“PM
umumkan mulai 18 Mac akan berkuat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan. Tak boleh
keluar rumah sewenang-wenangnya. Hanya ketua keluarga sahaja yang dibenarkan
keluar rumah untuk pembelian barang dapur atau sebarang urusan kecemasan.
Selain daripada itu tidak boleh keluar sama sekali” balas Jeha
bersungguh-sungguh dengan penuh gaya.
“Ya
Allah, betul ke ni? Abis tue macam mana mak nak berniaga? Kalau mak tak
berniaga, kita nak makan apa Jeha…aduhai…macam mana nak sara hidup keluarga ni
nanti” nada suara mak berubah menjadi sedih bila mendengar berita yang tidak
disangka-sangka itu.
Mak
Kiah adalah ibu tunggal yang menyara 2 orang anak remaja. Jeha atau nama
sebenarnya Najihah Najib berumur 17 tahun dan merupakan calon SPM tahun 2020
anak ke-2 dalam keluarga yang kecil ini. Anak sulong Mak Kiah, Naqiuddin Najib
atau nama panggilan Naqiu berumur 25 tahun. Naqiu telah berhijrah ke Kuala
Lumpur 6 tahun lepas selepas tamat pengajian diploma di UiTM Shah Alam. Diploma
Senibina, Perancangan dan Ukur yang diperolehi telah melayakkan Naqiu menjawat
jawatan sebagai Penolong Pegawai Perancang Bandar di Jabatan Kerja Raya (JKR). Mak
Kiah telah kehilangan suami tercinta dalam kemalangan jalan raya. Kejadian itu
berlaku ketika suaminya hendak pulang ke rumah selepas usai solat subuh
berjemaah di Surau Ar-Redhuan hanya 5 kilometer sahaja jaraknya dari rumah.
Kemalangan yang telah meragut nyawa suaminya di tempat kejadian tanpa sempat
dihantar ke hospital. Kemalangan itu jugalah yang menyebabkan Mak Kiah menjadi
ibu tunggal dan terpaksa membesarkan anak-anaknya yang masih kecil
berseorangan. Itu kisah Mak Kiah 11 tahun yang lepas. Tapi ada satu kisah yang
masih menjadi rahsia Mak Kiah. Mak Kiah simpan sendiri dalam hati. Mak Kiah
berdoa agar Allah swt telah sediakan perancangan yang terbaik untuk dirinya dan
keluarganya. Apa yang perlu difokuskan adalah kehidupan dia sekarang. Kehidupan
untuk dia menyara dirinya dan Jeha yang masih bersekolah.
“Mak…oh
mak…mak kenapa diam je ni. Risau la Jeha tengok mak macam ni. Mak jangan la
risau sangat. Jeha kan ada. InsyaAllah, kita boleh sama-sama harungi kesusahan
yang bakal kita hadapi ni. Mak jangan risau iya…” Jeha telah mengejutkan Mak
Kiah dari lamunan kisah silam yang panjang.
“Baiklah
anak mak ni. Anak siapalah yang baik sangat ni iya. Ikut perangai siapalah
agaknya iya…” balas Mak Kiah dengan nada suara yang ceria semula.
“Dah,
jom-jom tidur…dah malam ni. TV dah tutup ke tu? Pergi tutup TV” sambung Mak
Kiah kepada Jeha yang bermalasan bergerak ke ruang tamu untuk tutup TV sebelum
masuk bilik tidurnya.
17 Mac
2020 – Kampung Sri Lalang
Jarum
jam di dinding baharu melepas jam 4.00 pagi. Mak Kiah telah kelentungan di
dapur untuk menyiapkan kuih muih yang akan dijual di kedai makan di pinggir
kampung. Selain kuih muih, Mak Kiah juga ada menjual nasi lemak mabeles. Nasi
lemak Mak Kiah sangat popular di kalangan penduduk kampung di situ. Kadang kala
terdapat juga penduduk dari kampung sebelah datang ke Kampung Sri Lalang
semata-mata untuk membeli nasi lemak mabeles Mak Kiah. Mak Kiah boleh
dilabelkan sebagai ibu tunggal yang popular di Kampung Sri Lalang sehingga ke
kampung sebelah. Reputasi Mak Kiah sebagai ibu tunggal yang berdikari dan cekal
dalam membesarkan anak-anak yang masih kecil lepas kehilangan Pak Najib sangat
dikagumi dan disegani di kalangan penduduk kampung. Ditambah dengan kemurahan
hati untuk membantu golongan yang susah dan memerlukan bantuan menyebabkan Mak
Kiah telah dilantik di kalangan ibu-ibu tunggal di situ sebagai Penghuluwati.
“Jeha,
oh Jeha….dah pukul berapa ni…subuh dh nak abis ni, tak bangun-bangun lagi. Anak
dara apa ni bangun lambat…nak tunggu mak kejut baharu nak bangun. Tak boleh ke bangun
sendiri. Jangan bagi mak datang bilik tu bawa gayung air…” jeritan Mak Kiah
memenuhi ruang rumah di waktu subuh hari. Itu la rutin harian Mak Kiah setiap
pagi. Nasib baiklah kedudukan rumah kampung ni tidak rapat-rapat macam rumah di
Bandar. Kalau tidak, setiap pagi jiran-jiran akan mengalami gangguan bunyi melebihi
85 desimal hasil jerita Mak Kiah. Semakin lambat Jeha bangun, semakin kuat
suara Mak Kiah sehingga boleh mencecah 100 desimal.
“Mak
ni, cakap dah nak abis subuh…tu baharu je dengar azan. Baharu nak masuk subuh.
Mak saja je tau, kacau Jeha tidur” kedengaran tapak kaki Jeha berjalan menuju
ke ruang dapur dengan nada suara mengeliat dan tidak puas hati kerana
dikejutkan dari tidur. Tangan Jeha dengan malas menarik kerusi untuk duduk dan
menyembamkan muka di atas meja sambil memejamkan mata tanda protes kepada Mak
Kiah.
“Ikut
sunnah Nabi, kena bangun awal sebelum subuh agar mendapat keberkatan di waktu
pagi. Supaya rezeki kita pagi ni mendapat diberkati dan melimpah ruah” jawab
Mak Kiah sambil tangan laju menyusun kuih muih dengan rapi dalam bekas plastik
berbentuk segi empat. Kelihatan nasi lemak Mak Kiah berasap dari bekas kedap
udara bersaiz M berwarna merah. Sambal nasi lemak yang disediakan Mak Kiah ada
3 jenis sahaja hari ini – sambal bilis berapi, sambal sotong osem dan sambal
kerang superb. Tidak lupa juga hidangan sampingan nasi lemak yang wajib ada
seperti hirisan timun jepun, ikan bilis goreng campur kacang dan telur rebus.
Semuanya telah tersusun rapi dalam bekas masing-masing.
“Jeha,
hari ni kira last la mak boleh berniaga ni iya Jeha. Esok 18 Mac mak dah tak
boleh niaga ke Jeha? Soal Mak Kiah pada Jeha yang senyap tak bergerak di meja
makan.
“Hmmmm…”
balas Jeha pendek dan ringkas. Kepala Jeha masih disembamkan di atas meja makan
beralaskan lengan.
“Abis
tu macam mana kita nak cari rezeki ni Jeha. Banyak bil-bil nak dibayar ni Jeha. Belum lagi duit kereta dan motor tu
lagi…roadtax dan insurans kereta tu pun dah nak tamat tempoh…” tambah Mak Kiah
lagi dengan nada yang risau.
“Hmmm…”
balas Jeha lagi…tanpa ada ulasan yang sepatutnya untuk melayan bualan Mak Kiah.
Seolah-olah Mak Kiah bercakap seorang diri walaupun Jeha ada di situ.
“Jeha…dah
la tu bangun…pergi mandi dan solat…mak dah nak siap ni. Gayung air ni ada je
kat sini…kalau tak nak kena siram, cepat bangun…” Mak Kiah membalas dengan nada
amaran yang biasa digunakan, tetapi tidak pernah dipraktikan pun. Sebabnya,
kalau basah dapur, satu kerja pula untuk dikemaskan.
Jeha
mengeliat untuk kali sekian kalinya. Jeha menjeling ke arah jam di dinding.
Baharu menunjukkan jam 6.10 pagi. Tanpa ulah banyak, Jeha ambil tuala yang
telah tersedia di kerusi dan bergerak menuju ke bilik air.
Rutin
harian Jeha adalah membantu Mak Kiah menghantar kuih muih dan nasi lemak mabeles
di kedai hujung kampung. Kedai itu milik pak cik saudara belah ayahnya. Mak
Kiah hanya meletakkan kuih muih dan nasi lemak mabeles di situ untuk dijual.
Pak Cik saudaranya Pak Nasrul dan isterinya Mak Cik Jubaidah yang menjaga kedai
tersebut. Mereka akan menyediakan minuman dan makanan gorengan yang lain
seperti mee goreng, nasi goreng dan juga roti canai.
Sekembali
dari menghantar kuih muih dan nasi lemak mabeles di kedai Pak Nasrul, Jeha
duduk melepak di ruang luar rumahnya. Matanya tertarah pada susuk tubuh Mak
Kiah yang sedang sibuk menyidai kain baju di jemuran. Dia masih terniang-niang
kata-kata Mak Kiah subuh tadi mengenai kerisauannya jika tidak boleh berniaga
lagi mulai esok. Walau bagaimanapun, fikiran Jeha tidak boleh berfungsi dengan
baik jika perutnya sedang menyanyikan lagu keroncong. Bau nasi lemak mabeles
Mak Kiah menusuk ke hidungnya seumpama mengamit untuk memenuhi kehendak perut
Jeha yang berkeroncong.
“Mak,
meh la sarapan sekali. Jeha sendukkan nasi lemak untuk mak sekali ni” Jeha
memanggil Mak Kiah yang telah hampir selesai menjemur kain baju.
“Iya
lah, kejap lagi mak datang. Dah nak siap dah pun ni” balas Mak Kiah sambil
tangannya pantas menjemur helaian yang terakhir.
Selepas
selesai menjemur helaian terakhir, Mak Kiah berjalan lenggang-lenggok sambil
memegang bakul pakaian yang telah kosong menuju ke ruang luar rumahnya yang
sememangnya ada tersedia meja makan yang boleh memuatkan 6 orang. Kebiasaannya,
waktu pagi Mak Kiah dan Jeha akan bersarapan di luar rumah sambil menghirup
udara segar dan nyaman. Bau-bauan seperti pokok, rumput dan tanah di waktu pagi
amat menyegarkan berbeza dengan bau udara di bandar-bandar besar yang penuh
dengan asap dan debu.
“Mak,
Jeha dah fikirkan idea yang bernas untuk hadapi masalah yang bakal kita hadapi
bila penguat kuasaan PKP bermula 18 Mac nanti” Jeha mulakan perbualan selepas
menyuap nasi lemak mabeles Mak Kiah.
“Jeha
cadangkan kita buat jualan secara dalam talian. Jeha akan wujudkan laman
Facebook khas untuk Nasi Lemak Mabeles Mak Kiah dan link untuk tempahan secara
dalam talian. Nanti kita upahlah rider untuk bantu buat penghantaran. Mesti
ramai je budak-budak kampung yang tak de kerja nak sudi jadi rider kita nanti.
Mak rasa ok tak idea Jeha ni mak? Bukan itu sahaja, mak punya Nasi Lemak
Mabeles Mak Kiah boleh pergi jauh secara lebih meluas ke kampung sebelah Kampung
Sri Lalang Laut. InsyaAllah, Jeha yakin jualan Nasi Lemak Mabeles Mak Kiah
boleh meningkat jika cara marketing kita betul dan sesuai dengan keadaan semasa.
What do you say mak? On ke tak On? Huraian idea Jeha yang panjang lebar sedikit
sebanyak memberikan harapan baharu untuk Mak Kiah menghadapi PKP nanti.
“Ok,
mak On…mak On…Jeha buat la, mak ikut je kalau hanya itu pilihan yang ada” balas
Mak Kiah dengan senyuman penuh pengharapan.
Selepas
sarapan pagi, Jeha buka laptop hadiah ulang tahun kelahiran yang ke-17 yang
dihadiahi oleh abang kesayangannya…abang Naqiu. Jeha dengan penuh semangat
memulakan projek Nasi Lemak Mabeles Mak Kiah Viral. Jeha mewujudkan Facebook
khas untuk mempromosikan Nasi Lemak Mabeles Mak Kiah. Jeha masukkan
gambar-gambar nasi lemak yang menyelerakan yang masih panas dan berasap.
Pemilihan penggunaan bahan-bahan mentah yang berkualiti dan segar dari ladang.
Fakta yang paling penting adalah Nasi Lemak Mabeles Mak Kiah tentunya dijamin
kebersihan dan halal toyyiban. Dalam masa 2 jam, laman Facebook Nasi Lemak
Mabeles Mak Kiah telah dipublish dan diviralkan. Kini Jeha hanya perlu menunggu
permohonan tempahan secara dalam talian melalui link borang tempahan yang telah
disediakan. Di samping itu, Jeha juga telah memasukkan link untuk tempahan
melalui aplikasi whatapps.
“Mak,
oh mak…tengok ni mak…Nasi Lemak Mabeles Mak Kiah dah viral sampai kampung
sebelah ni mak. Dah ramai follower untuk laman Facebook nasi lemak mak ni tau
mak. Jeha dah dapat 80 tempahan nasi lemak untuk esok. Jadi mak boleh lah buat
mengikut tempahan. Kurang pembaziran kalau macam ni.”
“Ya
Allah, betul ke Jeha. Syukur Alhamdulillah. Masih ada rezeki untuk kita
rupanya. Banyak juga yang buat tempahan iya. Tapi nanti siapa yang akan hantar.
Jeha dah check ke siapa yang buat tempahan tua. Mak kesian kat rider tu nanti
nak hantar banyak tempat-tempat berbeza” balas Mak Kiah dengan nada ceria dan
bertukar kepada kerisauan untuk proses penghantaran.
“Mak
jangan risau, anak mak ni dah fikirkan semua untuk mak. Jeha dah standardkan
harga nasi lemak mabeles tu jadi RM4.00 sebungkus dan minimum pembelian adalah
5 bungkus dan ke atas. Jika pembelian melebihi 10 bungkus, tiada caj
penghantaran dikenakan. Jika 10 bungkus dan ke bawah, caj penghantaran sebanyak
RM2 dikenakan. Ok tak mak cadangan Jeha ni?” balas Jeha dengan penuh keyakinan
untuk mengurangkan kerisauan Mak Kiah.
“Nanti
rider tu nanti akan ambil caj penghantaran tu. Lagi banyak tempat dia pergi,
lagi banyak la caj penghantaran yang dia akan terima” tambah Jeha lagi untuk
meningkatkan lagi keyakinan Mak Kiah terhadap projek Nasi Lemak Mabeles Mak
Kiah ni.
“Wah,
bijaknya anak mak ni. Belajar dari siapa ni? Tak sia-sia mak bersusah payah
sekolahkan kau Jeha. Meh sini mak nak peluk sikit” balas Mak Kiah dengan nada
gembira dan bersyukur kerana dikurniakan anak yang sedia membantu dalam
kesusahan.
18 Mac
2020 – Permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
Permulaan
hari untuk projek Nasi Lemak Mabeles Mak Kiah dimulakan seawall jam 7.30 pagi.
2 rider yang bertauliah telah dilantik untuk membantu dalam penghantaran Nasi
Lemak Mabeles Mak Kiah. rider yang dilantik tu bukan orang lain pun, sepupu
Jeha juga. Mereka berdua tidak mempunyai kerja yang tetap dan telah dikerahkan
oleh mak ayah masing-masing untuk membantu Mak Kiah di samping dapat menjana
pendapatan sendiri dari duit hasil penghantaran.
Mengikut
pada rancangan Jeha, semua tempahan perlulah selesai dihantar selewat-lewatnya
jam 9.00 pagi. Jika semua tempahan dapat diselesaikan mengikut tempoh masa yang
ditetapkan, rider yang dilantik akan mendapat bonus upah di samping bayaran
upah yang diberikan oleh pelanggan. Itu adalah syarat tambahan untuk Jeha
memastikan rider yang dilantik menjalankan amanah yang diberikan mengikut
ketetapan masa yang telah ditetapkan.
Hasil
jualan Nasi Lemak Mabeles Mak Kiah telah meningkat jika dibandingkan dengan
hasil jualan di kedai makan Pak Nasrul. Kemungkinan disebabkan pertambahan
pelanggan dari kampung sebelah yang menyebabkan hasil jualan meningkat secara
mendadak. Mak Kiah berasa sangat bersyukur kerana dilimpahkan dengan rezeki yang
tidak putus. Hasil jualan ini Mak Kiah gunakan untuk bayar bulanan kereta dan
motor serta menghidupkan semula roadtax kereta yang telah tamat tempoh. Mak
Kiah bertambah yakin bahawa dalam setiap kesusahan yang dihadapi, pasti ada
hikmah yang tersembunyi. Dia tidak menyangkakan bahawa pada musim PKP ini
rezekinya bertambah dan melimpah ruah. Sekiranya seseorang itu pandai meramal
keadaan semasa dan menggunakan peluang yang ada dengan cara yang betul, tiada
sebarang halangan yang tidak mampu ditempuhi.
Reputasi
Mak Kiah semakin meningkat naik. Semua orang-orang kampung mengagumi Mak Kiah
kerana Mak Kiah adalah penduduk Kampung Sri Lalang yang pertama telah
menggunakan kaedah penjualan nasi lemak secara dalam talian. Semua
peniaga-peniaga runcit dan kecil-kecilan ingin menjadikan Mak Kiah sebagai Role
Model Businesswoman yang berjaya.
Seiring
dengan meningkatnya reputasi Mak Kiah, tahap kesibukan Jeha juga semakin
bertambah. Ini kerana secara tidak langsung Jeha sebagai Penasihat Peribadi Mak
Kiah, kini telah menjadi Penasihat kepada semua peniaga kecil di Kampung Sri
Lalang. Ramai peniaga-peniaga kecil meminta bantuan Jeha mengwujudkan lama
Facebook peniagaan masing-masing. Semua penjualan barangan dilakukan secara
dalam talian. Memandangkan ramai yang meminta bantuan, maka Jeha telah
mengenakan caj khidmat nasihat yang berpatutan kepada peniaga-peniaga ini.
Secara tidak langsung, Jeha telah membuat penjanaan pendapatan untuk kemahiran
ICT yang dia miliki.
31 Mac
2020 – Kampung Sri Lalang
“Mak…mak
dah sedia ke untuk sesi temubual dengan Pengacara Motif Viral tue nanti mak?
Sesi temubual tu akan diadalah melalui video call. Siapa sangka kan mak, Nasi
Lemak Mabeles Mak Kiah boleh viral sampai satu Malaysia tahu. Mak dah terkenal
tau sekarang ni” bicara Jeha kepada Mak Kiah yang sedang kyusuk melipat kain
baju yang diangkat petang tadi.
“Malu
la Jeha…Jeha je la yang ganti mak nanti. Lagi pun mak mana la pandai nak
jawab-jawab soalan mereka tu nanti. Nanti buat malu je kalau salah. Satu
Malaysia nampak. Tak nak la mak” balas Mak Kiah sambil tangan pantas melipat
baju-baju.
“Alaaa…mak
ni…itu pun nak malu. Jeha ada lah mak. Jeha nanti duduklah sebelah mak. Kalau
mak tak boleh jawab nanti, Jeha jawabkan la. Ok iya mak…boleh la…” balas Jeha
dengan nada suara rayuan domba untuk memujuk Mak Kiah bagi sesi temubual itu
nanti.
2
April 2020 – Sesi Temubual Bersama Movif Viral
“Assalamualaikum
Mak Kiah dan Jeha. Terima kasih kerana sudi untuk ditemubual melalui video call
ni. Almaklumlah PKP masih belum tamat lagi. Jadi video call adalah salah satu
medium terkini yang boleh menghubungkan sesama kita dengan lebih pantas dan
menjimatkan masa. Apa perasaan Mak Kiah apabila Nasi Lemak Mabeles Mak Kiah
telah diviralkan dan dikenali seluruh Malaysia. Bahkan, Perdana Menteri
Malaysia juga telah mengambil contoh Mak Kiah dalam pembentangan bajet untuk
program Ransangan Ekonomi Malaysia. Bukan itu sahaja, nama Mak Kiah telah
digunakan secara komersial dalam bidang-bidang pemasaran dan perniagaan. Semua
ini berlaku sekelip mata sahaja dalam sepanjang tempoh PKP ini” bicara Shalma
Ainaa pengacara Motif Viral ditujukan kepada Mak Kiah dan Jeha yang berada
ditalian.
“Waalaikumsalam.
Terima kasih kerana sudi menemubual Mak Kiah. Mak Kiah berasa amat bersyukur
kerana medium ICT ini telah membantu Mak Kiah mengembangkan penjualan Nasi
Lemak Mabeles ini lebih meluas lagi. Mak Kiah pun tidak sangka, idea yang Jeha
cadangkan ini membuahkan hasil malahan lebih dari apa yang Mak Kiah bayangkan.
Mak Kiah tidak menyangka bahawa Mak Kiah akan ditemubual dan masuk dalam
rancangan Motif Viral ni. Mak Kiah tak pernah pun tengok rancangan ni. Jeha je
yang selalu tengok rancangan ni” balas Mak Kiah dan diakhiri dengan gelak
kecil.
“Pada awalnya
Jeha hanya hendak membantu mak yang risau jika PKP bermula, maka mak dah tak
boleh nak jual nasi lemak mabeles lagi. Jadi Jeha berikan idea ni kat mak dan
mak setuju. Jeha pun tidak menyangka sama sekali yang idea Jeha ni memberi
kesan yang besar di seluruh Malaysia. Dalam pada yang menyokong, sebenarnya ada
je yang tidak suka atas kejayaan mak. Tapi kami anak beranak menerima semuanya
dengan tangan yang terbuka dan mendoakan agar semua dikurniakan rezeki yang
tidak putus-putus sepanjang musim PKP ini” tambah Jeha untuk persoalan yang
diajukan oleh Shalma Ainaa.
“Apa
kata-kata nasihat dari Mak Kiah untuk semua penonton Motif Viral?” persoalan
terakhir Shalma Ainaa kepada Mak Kiah.
“Mak
Kiah nak ambil kesempatan ini agar semua rakyat Malaysia untuk terus kekal
berada di rumah dan ikut saranan pihak kerajaan bagi membendung rangkaian
Covid19 ini. Perlu ada penjarakan social di tempat-tempat awam terutamanya
ketika hendak membeli barangan dapur. Kebersihan perlu dijaga dan perlu kerap
basuh tangan dengan sabun dan air bagi mencegah sebarang jangkitan. Topeng muka
perlu digunakan setiap kali keluar rumah untuk membeli barang keperluan. Jangan
keluar rumah jika tidak perlu. Bak omputih cakap, Stay Home…Stay Safe. Together
We Fight Covid19. Terima kasih” ucapan yang penuh berinformasi daripada Mak
Kiah kepada semua rakyat Malaysia.
“Ingat
Mak Kiah Viral…Ingat Ohhh…Nasi Lemak Mabeles Mak Kiah…Tak kenal maka tak cinta,
dah rasa mesti nak lagi…itu lah Nasi Lemak Mabeles Mak Kiah…”
No comments:
Post a Comment