Tuesday 14 April 2020

Kimchi Oh Kimchi







Sebelum kita ke tajuk utama entri kali ini, nak berikan sedikit mukadimah pembuka bicara untuk masyarakat di luar sana yang bukan dalam kategori fanatik/obsesi terhadap drama-drama korea atau tergolong dalam golongan mengamalkan budaya tradisional lama yang hanya fokus kepada makanan-makanan tradisional Melayu sahaja. 

Apa itu KIMCHI? Dari manakah asalnya kimchi ini? Kenapa kimchi ini digemari? Bagaimanakah rasa kimchi ini? Banyak persoalan yang akan diutarakan oleh golongan yang tidak mengenali lagi apa itu kimchi. Bak kata pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta. Begitu juga dengan identiti kimchi ini. Bila identiti kimchi nie telah dikenali, maka tidak mustahil ianya akan digemari oleh golongan-golongan yang berkecuali tadi.

Kimchi ini adalah makanan tradisional yang berasal dari negeri Gingseng Korea, ini merupakan salah satu jenis jeruk sayur hasil dari fermentasi yang menggunakan bahan ramuan yang pedas. Setelah digarami dan dicuci, sayuran dicampur dengan bahan ramuan yang dibuat dari pes udang (cencalok), pes ikan (budu), bawang putih, halia, pes cili kering dan sos putih iaitu hasil daripada campuran tepung pulut dan gula.

Bahan utama untuk penghasilan jeruk sayur ini ada banyak jenis. Walau bagaimanapun bahan yang menjadi pilihan untuk membuat kimchi ini adalah kubis cina atau lobak putih. Berdasarkan pada sejarah Korea, pada masa dahulu kimchi diucapkan sebagai chim-chae yang membawa maksud "sayuran yang direndam." Ini kerana proses penghasilan kimchi adalah pengawetan sayur dalam tembikar dalam suatu tempoh yang lama - sehingga bertahun lamanya untuk menghasilkan satu produk yang berkualiti dan sedap.   

Kebiasaannya, hidangan kimchi ini adalah hidangan sampingan untuk mencetuskan tunas rasa ketika memakan sesuatu hidangan lain. Hidangan ini merupakan salah satu hidangan yang paling umum yang akan dihidang pada setiap kali hendak makan. Hatta, ketika makan ayam goreng atau daging panggang, hidangan kimchi pasti akan dihidangkan bersama-sama untuk pembuka selera. 

Di samping itu, kimchi ini juga seringkali digunakan sebagai bahan asas semasa memasak sup kimchi (kimchi jjigae), nasi goreng kimchi (kimchi bookeumbap) dan pelbagai masakan lain. 




Dari manakah asal usul kimchi? Kimchi merupakan makanan yang paling popular yang berasal dari Korea. Kewujudan kimchi di Korea adalah disebabkan keinginan masyarakat pada zaman pra-sejarah yang telah menggunakan garam sebagai bahan pengawet. Garam ini digunakan pada zaman tersebut untuk tujuan mengawet makanan yang akan dimakan pada ketika musim sejuk melanda di negara. Bahan-bahan makanan ini kebiasaannya akan disiapkan dari semenjak musim gugur sebagai persiapan menghadapi musim sejuk. Bekalan makanan yang disimpan perlulah tahan lama dan boleh digunakan sepanjang musim sejuk kerana pada musim sejuk negara akan mengalami masalah kekurangan bekalan makanan kerana ladang-ladang dan kebun-kebun telah dilitupi salji. Ini menyebabkan bekalan makanan mentah berkurangan. 

Pada awalnya kimchi Korea hanya mengawet bahan makanan seperti sayur-sayuran. Namun terdapat inovasi yang dilakukan menggunakan garam iaitu dengan membuat jeruk makanan laut dan daging. 

Terdapat satu tradisi Korea yang benama Kimjang, di mana pada hari tersebut semua orang Korea akan membuat kimchi dalam jumlah yang besar sebelum memasuki musim sejuk. Ianya adalah sebagai satu amalan turun temurun bagi menggalakkan semua masyarakat bekerja sama untuk menyediakan kimchi dalam jumlah yang besar sebagai persediaan menempuhi musim sejuk. Kalau sesiapa yang tengok drama Crash Landing On You, mesti boleh bayangkan amalan tradisi Kimjang ini macam mana. Hihi...tetiba kaitkan dengan drama CLOY plak...Hihihi...


Kenali jenis KIMCHI

1. Baechu Kimchi (Kimchi Kubis Cina)

Kimchi jenis ini merupakan kimchi yang paling terkenal dan selalu dipopularkan dalam drama-drama Korea. Baechu kimchi ini pastinya akan dipaparkan setiap kali scene makan bersama keluarga. Secara tidak langsung, kimchi jenis ini mudah dikenali dan penerimaan masyarakat Melayu lebih mudah. Ini kerana kimchi jenis ini adalah daripada sayur kubis cina. Proses pembuatan kimchi jenis ini agak rencam tetapi amat mudah dibuat. Kimchi jenis ini adalah hasil fermentasi / pengawetan bahan-bahan ramuan seperti pes udang (cencalok), pes ikan (budu), bawang putih, halia, pes cili kering dan sos putih iaitu hasil daripada campuran tepung pulut dan gula. Semua bahan-bahan ini akan digaulkan pada kubis cina dan kemudiannya dimasukkan ke dalam tempayan / tembikar untuk proses peraman dalam satu tempoh masa yang panjang. Lagi lama tempoh peraman, hasilnya akan menjadi lebih sedap.



2. Kkakdugi Kimchi (Kimchi Lobak Putih)

Kimchi jenis ini merupakan kimchi yang kedua popular dalam drama-drama bersiri korea. Di samping itu, lambakan kimchi jenis ini adalah kerana Korea Selatan memiliki hasil pertanian yang banyak. Oleh yang demikian, inovasi yang dilakukan adalah membuat kimchi lobak putih agar ianya betahan lama; terutamanya ketika musim sejuk menjelma. Lobak putih ini akan dipotong seperti kotak segi empat sama sebelum diperam bersama pes cili yang telah dicampurkan dengan bahan-bahan lain. Kebiasaannya, tahap kemasinan kimchi lobak putih perlu dilebihkan jika dibandingkan dengan kimchi kubis cina. Kemungkinan disebabkan keadaan fizikal lobak putih yang keras, maka proses penyerapan kadar kemasinan perlu dilebihkan. Tempoh peraman, sama seperti kimchi kubis cina juga. Lagi lama tempoh peraman, hasil akan lebih sedap kerana semua bahan-bahan peraman telah meresap masuk sepenuhnya.   




Sebenarnya ada banyak lagi jenis kimchi yang lain. Tapi dalam entri nie hanya masukkan 2 jenis utama yang mudah dikenali dan juga telah menjadi favorite semenjak mengenali apakah kimchi ini sebenarnya. Tak kenal maka tak cinta. Bila dah kenal, macam nie la jadinya. Sampai nak diabadikan pasal kimchi ini dalam blog yang tak seberapa ramai pengunjung nie. Hihihi...   



Bagaimana Rasa Kimchi Sebenarnya? 

  • Pedas pijar - jika letak pes cili banyak
  • Masin - hasil campuran cencalok dan budu
  • Manis - sos putih iaitu tepung pulut dicampur dengan gula
  • Masam - faktor utama bagi rasa KIMCHI sebab hasil dari peraman yang lama
Rasa kimchi ini boleh membantu tunas rasa lidah jika makan sesuatu yang berminyak dan berlemak. Di samping itu, kimchi ini juga boleh dijadikan pembuka selera jika seseorang itu tiada selera makan, jadi rasa masam kimchi ini membantu mewujudkan selera makan.

Kimchi ini juga telah digunakan sebagai bahan asas dalam masakan menu-menu korea. Ini kerana rasa kimchi yang unik itu boleh menjadikan menu hidangan lain menjadi lebih sedap dan menyelerakan. 




5 Fakta Kimchi Yang Perlu Diketahui

Fakta #1: Kimchi mengandungi jumlah probiotik yang agak tinggi, terutamanya lactobacilli. Probiotik ini merupakan bakteria pencernaan semulajadi yang membantu dalam sistem pencernaan untuk berfungsi dengan baik. Bakteria jenis ini juga adalah bakteria yang sama seperti di dalam minuman seperti Yakult atau Vitagen.

Fakta #2: Serbuk cili merah yang digunakan di dalam Kimchi didapati penuh dengan vitamin A dan C dimana ianya membantu mencegah pembiakan sel-sel kanser.

Fakta #3: Kimchi yang diperam lebih lama, akan menghasilkan sejumlah besar antioksidan. Antioksida ini terbukti membantu memperlahankan proses sel-sel penuaan. Dalam erti kata lain, anda akan awet muda. Ianya sama juga dengan makanan tradisi rakyat Kelantan/Terengganu seperti cencalok dan budu. Makanan ini juga hasil dari peraman dan mempunyai antioksida yang tinggi.

Fakta #4: Jumlah rasmi kimchi yang sedia ada ialah sebanyak 187 jenis kimchi yang berlainan. Memandangkan Kimchi boleh dibuat menggunakan pelbagai jenis kubis, lobak dan sayuran, maka berapa jumlah sebenar jenis kimchi adalah tidak diketahui. Setiap orang mempunyai citarasa yang berbeza dan jenis kimchi juga bergantung pada pilihan masing-masing.

Fakta #5: Kimchi boleh bertahan untuk satu tempoh masa yang lama sekiranya proses penyediaan dilakukan dengan betul dan disimpan dengan baik. Anggaran tempoh masa bagi kimchi ini adalah sehingga 3 tahun dan lebih. Hasil kimchi yang telah diperam dalam tempoh yang lama akan menghasilkan kimchi yang lebih sedap.


No comments:

Post a Comment

Awan Hitam

Awan Hitam Bosan... Bila nak balik nie... Penat melayan kerenah manusia... Topeng berlapis-lapis Sampai lupa wajah sebenar yang mana Benci.....