Friday, 27 August 2021

Lirik Lagu Bangau Oh Bangau - Extraordinary Song

 


Bangau oh bangau,

Kenapa engkau kurus?

 

Macam mana aku tak kurus

Ikan tak mahu timbul

Ikan tak mahu timbul.

 

Ikan oh ikan

Kenapa engkau tak timbul?

 

Macam mana aku nak timbul

Rumput panjang sangat

Rumput panjang sangat

 

Rumput oh rumput

Kenapa engkau panjang?

 

Macam mana aku tak panjang

Kerbau tak makan aku

Kerbau tak makan aku

 

Kerbau oh kerbau

Kenapa tak makan rumput ?

 

Macam mana aku nak makan

Perut aku sakit

Perut aku sakit

 

Perut oh perut

Kenapa engkau sakit?

 

Macam mana aku tak sakit

Makan nasi mentah

Makan nasi mentah

 

Nasi oh nasi

Kenapa engkau mentah?

 

Macam mana aku tak mentah

Api tak mahu menyala

Api tak mahu menyala

 

Api oh api

Kenapa engkau tak mahu menyala?

 

Macam mana aku nak menyala

Kayu api basah

Kayu api basah

 

Kayu oh kayu

Kenapa engkau basah?

 

Macam mana aku tak basah

Hujan timpa aku

Hujan timpa aku

 

Hujan oh hujan

Kenapa engkau timpa kayu?

 

Macam mana aku tak timpa

Katak panggil aku

Katak panggil aku

 

Katak oh katak

Kenapa panggil hujan?

 

Macam mana aku tak panggil

Ular nak makan aku

Ular nak makan aku

 

Ular oh ular

Kenapa nak makan katak?

 

Macam mana aku tak makan

Memang makanan aku

Memang makanan aku

 

Makanan oh makanan

Kenapa engkau rela dimakan?

 

Macam mana aku tak rela dimakan

Ayam cabut lari

Ayam cabut lari

 

Ayam oh ayam

Kenapa engau cabut lari?

 

Macam mana aku tak cabut lari

Musang kejar aku

Musang kejar aku

 

Musang oh musang

Kenapa kejar ayam?

 

Macam mana aku tak kejar

Daging ayam sedap

Daging ayam sedap

 

Daging ayam oh daging ayam

Kenapa engkau sedap?

 

Macam mana aku tak sedap

Tuan jaga aku

Tuan jaga aku

 

Tuan oh tuan

Kenapa engkau jaga ayam?

 

Macam mana aku tak jaga

Nanti pencuri ambil ayam

Nanti pencuri ambil ayam

 

Pencuri oh pencuri

Kenapa engkau nak ambil ayam?

 

Macam mana aku tak ambil ayam

Aku perlukan duit

Aku perlukan duit

 

Duit oh duit

Kenapa engkau diperlukan?

 

Macam mana aku tak diperlukan

Hidup perlu duit

Hidup perlu duit

 

Hidup oh hidup

Kenapa engkau perlu duit?

 

Macam mana aku tak perlu duit

Masyarakat perlu makan

Masyarakat perlu makan

 

Masyarakat oh masyarakat

Kenapa perlu makan?

 

Macam mana tak perlu makan
Manusia hidup untuk bekerja

Manusia hidup untuk bekerja

 

Manusia oh manusia

Kenapa engkau perlu bekerja?

 

Macam mana aku tak bekerja

Rezeki perlu dicari

Rezeki perlu dicari

 

Rezeki oh rezeki

Kenapa engkau perlu dicari?

 

Macam mana aku tak dicari

Anak bini perlu makan

Anak bini perlu makan

 

Anak bini oh anak bini

Kenapa engkau perlu makan?

 

Macam mana kami tak perlu makan

Badan perlu tenaga

Badan perlu tenaga

 

Badan oh badan

Kenapa engkau perlu tenaga?

 

Macam mana aku tak perlu tenaga

Otak kena berfungsi

Otak kena berfungsi

 

Otak oh otak

Kenapa engaku kena berfungsi?

 

Macam mana aku tak berfungsi

Masa depan perlu difikir

Masa depan perlu difikir

 

Masa depan oh masa depan

Kenapa engkau perlu difikir?

 

Macam mana aku tak perlu difikir

Wawasan 2030 perlu dicapai

Wawasan 2030 perlu dicapai

 

Wawasan 2030 oh wawasan 2030

Kenapa engkau perlu dicapai?

 

Macam mana aku tak perlu dicapai

Wawasan kemakmuran bersama 2030 berkhidmat untuk Negara

Wawasan kemakmuran bersama 2030 berkhidmat untuk Negara

Anjakan Paradigma Dalam Dunia Pendigitalan

 



Pandemik COVID-19 yang melanda di seluruh dunia telah memasuki tahun kedua. Walaupun dunia dilanda wabak yang telah membunuh jutaan nyawa manusia di seluruh dunia, kehidupan harian sebagai seorang anak, pelajar, ibubapa, pekerja dan majikan masih berjalan seperti biasa. Meskipun terdapat kesukaran yang dihadapi oleh semua di awal penyebaran wabak maut, selepas melalui tiga (3) fasa, semua golongan rakyat telah mampu mengharunginya dengan mengadaptasi norma baharu yang telah disarankan oleh pihak kerajaan.


Sememangnya pandemik COVID-19 ini telah memberi kesan yang besar kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira golongan lapisan masyarakat serta semua pekerja baik di sektor swasta mahu pun di sektor awam. Sejajar dengan kemunculan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), pekembangan teknologi yang boleh dikategorikan sebagai disruptif positif di kalangan golongan muda belia telah menjadi pemangkin dalam era teknologi digital. Gelombang perubahan yang ketara ini telah mendorong rakyat dan kerajaan untuk terus memacu misi dan visi ke arah mengadaptasikan pendigitalan dalam semua aspek kehidupan seharian sama ada urusan peribadi mahu pun urusan pekerjaan.

     

Untuk menghadapi transformasi digital secara keseluruhan, setiap individu dalam masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing serta berusaha untuk membuat penyesuaian dan bekerjasama bagi menghadapi norma baharu dalam kehidupan. Setiap perubahan yang berlaku dalam kehidupan adalah sukar untuk dilakukan. Ini disebabkan sesuatu yang di luar kebiasaan ini pada awalnya akan menjadi halangan dan cabaran yang perlu dihadapi. Walau bagaimanapun, setiap dalam masyarakat perlu berani membuat satu anjakan paradigma yang besar dalam menghadapi perubahan baharu demi meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia dari segi sosial dan ekonomi. 

 

Sektor pekerjaan yang melibatkan pengurusan dan pentadbiran pejabat juga antara sektor yang tidak terkecuali dalam era pendigitalan. Walau bagaimanapun, sektor pengurusan dan pentadbiran pejabat, sememangnya telah berada di landasan yang betul iaitu ke arah pendigitalan. Arahan pendigitalan ini ada diwartakan dalam Dasar dan Garis Panduan ICT Sektor Awam yang dikeluarkan oleh Malaysian Administrative Modernisation and Management Planning Unit (MAMPU). Bermula dari tahun 1977 hingga 31 Jun 2017, sejumlah 49 pekeliling ICT telah diterbitkan oleh MAMPU untuk dijadikan sebagai garis panduan dan rujukan oleh semua sektor awam. Antara pekeliling yang dikeluarkan adalah merangkumi bidang yang berbeza iaitu Pengurusan Maklumat, Perancangan dan Strategi ICT, Rangkaian dan Komunikasi dan Keselamatan ICT.

 

Berdasarkan kepada jumlah pekeliling ICT yang telah dikeluarkan oleh MAMPU, ini membuktikan bahawa pihak kerajaan amat menyokong dan berusaha untuk memastikan semua sektor awam mempunyai misi dan visi yang sama bagi mencapai proses pendigitalan dalam setiap bidang. Walaupun teknologi automasi ini memberi cabaran baharu kepada semua sektor di negara ini, tetapi setiap individu masyarakat perlu melakukan perubahan agar ianya seiring dengan tranformasi digital untuk kekal berdaya saing dalam merancakkan kemajuan lanskap dunia moden.

 

Secara keseluruhannya, semua sektor pekerjaan perlu menghadapi era pendigitalan. Sekiranya terdapat sektor yang tidak mengikuti perkembangan IR 4.0 ini, ianya boleh memberi kesan negatif kepada individu tersebut dan juga kepada organiasasi. Antara organiasi terkemuka yang terkesan dengan perubahan teknologi adalah Nokia pada tahun 2013. Antara punca kegagalan Nokia adalah kelemahan pada pengawalan perubahan teknologi mengikut arus zaman; di samping kelemahan pada pengurusan tertinggi. Disebabkan kegagalan ini, sebuah organisasi yang besar tewas dengan perubahan teknologi yang pesat.

 

Cara yang terbaik untuk memastikan setiap sektor pekerjaan berada dalam landasan yang betul dalam mengharungi cabaran perkembangan teknologi yang lebih kompleks adalah dengan merangka strategi pembangunan kerjaya baharu. Analisis dan big data, integrasi sistem, penggunaan cloud, Internet of Things (IoT), keselamatan siber serta kesiapsiagaan pekerja dari segi mental, fizikal serta infrastruktur peralatan IT perlu diberikan perhatian oleh pihak majikan bagi memastikan kerangka pelan strategi pembangunan modal insan ke arah perkembangan teknologi yang lebih berkesan.

 

Setiap individu masyarakat dari semua lapisan generasi dan umur perlu membuang sikap teknofobia dalam diri dan berani dalam memberikan anjakan paradigma dalam menjalankan tugasan harian sebagai seorang pekerja; baik dalam sektor swasta mahu pun sektor awam. Pihak majikan perlu memainkan peranan yang penting dalam memperkasakan perancangan strategi sumber manusia dengan memberi tumpuan kepada strategi untuk mengekalkan bakat dalam organisasi. Dalam konteks ini, pihak majikan perlu kenalpasti individu yang berupaya mengadaptasi perubahan, bersikap positif serta bersedia memikul tanggungjawab dan amanah yang lebih besar di masa akan datang.   

 

Ini kerana perubahan kepada era pendigitalan membawa maksud bahawa setiap individu tersebut perlu memikul tanggungjawab yang besar melibatkan nilai individu yang tinggi. Nilai individu yang perlu diterapkan adalah perlulah mempunyai sikap Integriti yang tinggi. Ini kerana dalam era teknologi banyak isu yang melibatkan penipuan dan pemalsuan dapat dilakukan dengan mudah. Kecanggihan teknologi juga boleh memberi kesan yang negatif kepada pengguna sekiranya digunakan dengan cara yang tidak betul. Kadar kebergantungan manusia kepada teknologi semakin tinggi pada tahun 2020 ibarat aur dan tebing dan seperti isi dan kuku. Oleh yang demikian, sikap berintegriti dalam menjalankan tugas perlu dititik beratkan oleh pihak majikan agar data dan maklumat yang disimpan dan direkodkan adalah benar dan tiada pemalsuan. 

 

Memandangkan pandemik COVID-19 ini merupakan salah satu faktor yang melonjak revolusi IR 4.0 secara trek pantas, justeru terdapat organisasi yang masih bertatih dalam memantapkan sistem pengurusan perubahan di organisasi masing-masing. Ini kerana bukan semua organisasi telah bersedia dengan perubahan drastik yang berlaku dalam dunia masa kini. Oleh yang demikian, antara inisiatif yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan adalah merangka pelan hala tuju strategik kebangsaan tentang Internet of Things (IoT) yang diterajui oleh National Applied R & D Centre (MIMOS). Melalui pelan ini sejumlah RM9.8 billion kepada pendapatan negara kasar diunjurkan pada tahun 2020 beserta pengwujudan sebanyak 14,270 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

 

Secara kesimpulannya, bagi memastikan sesuatu perubahan itu dapat dilakukan dengan baik, sokongan dan dorongan adalah sangat diperlukan daripada semua pihak. Setiap individu, masyarakat dan juga organisasi perlu membuat perubahan secara disruptif melalui anjakan paradigm serta memainkan peranan masing-masing bagi memastikan era pendigitalan ini dapat direalisasikan dengan jayanya. Secara tidak langsung ianya dapat membantu sesebuah organisasi untuk menapak maju ke hadapan dalam mengharungi dunia era baharu IR 4.0.

Kisah 4: Mimpi

 



Aku telah bermimpi pergi ke rumah salah seorang boss aku. Boss aku nie dah bertukar bahagian. Jadi realtinya dalam realiti aku dah lama tak jumpa dia. Jadi entah kenapa boleh termimpi dia plak. Orang tua-tua bagi tahu kalau kita mimpikan seseorang tue bermaksud kita rindukan dia atau dia rindukan kita. Tapi adakah mimpi yang aku alami ini tanda aku rindukan dia atau dia yang rindukan aku. Aku pun tak pasti. Korang bacalah sendiri iya.

Dalam mimpi tue aku dengan 2 orang kawan naik satu kereta untuk gi ke rumah boss aku nie. Tapi aku tak ingat langsung muka 2 orang kawan aku tue dan tak ingat langsung siapa dia.

Aku pelik sebab kawasan perumahan boss aku ini seperti kawasan perumahan lama. Sepanjang perjalanan nak ke rumah boss nie ikut jalan lama...Jalan ala-ala pertengahan 80an.

Kami berhenti di cabang 4 traffic light. Jalan tar nampak tar lama dan batu border tepi jalan bercat hitam putih yg dah pudar. Kawasan jalan berhabuk dan panas terik.

Motor-motor kapchai dan basikal body hitam dan tayar besar masih digunakan di jalan raya. Gaya pakaian apek-apek Cina yang naik motor, nampak seperti orang yg baharu keluar dari ladang. Kemeja mungkin sebelumnya warna putih, tapi dah bertukar ke warna krim gelap dan nampak kesan-kesan kotoran di baju yang dipakai. Pkai helmet hitam macam bentuk kulit kura-kura separuh bulat dan tali helmet berjuntai tidak dikancingkan.

Lampu isyarat bertukar hijau. Kereta kami gerak belok ke kanan dan kami jalan straight dan dalam 5 minit kami sampai ke simpang taman perumahan dan belok kiri. Kawasan perumahan tue nampak kawasan lama. Kawasan perumahan double story...besar-besar rumah kt kawasan tue. Kami lalu di lorong tepi kawasan perumahan, jalan terus sampai kami jumpa rumah boss kami, corner lot. Rumah bercat turquoise blue dan bertiang putih.

Sesampai sahaja di rumah boss, rupanya boss dah lama tunggu kami. Boss ajak kami masuk rumah dan hidangkan juadah untuk kami.

Bila aku melangkah masuk, aku tengok rumah boss aku nie besar dan siling pun tinggi. Ketinggian siling lagi tinggi dari ketinggian biasa.


Ruangan rumah boss aku, setiap ruang mempunyai warna cat dinding yang berbeza. Ruangan dapur cat dinding kuning air. Terdapat 3 bilik di ruangan bawah. Ruangan bilik tidur boss cat dinding color royal blue. Ruangan bilik 2 bilik tiduk anak boss satu warna green turqoise dan peach.

Dinding ruang tamu warna putih biasa. Walaupun setiap dinding mempunyai cat berbeza dan tampak warna-warna ceria, tetapi aku rasakan suasana rumah tersebut suram dan sunyi. Aku hanya terdetik dalam hati sahaja. Tetapi, aku tak sangka boss aku boleh tahu apa yang terdetik dalam hati aku.


"Ya, rumah nie memang nampak suram dan sunyi...."


Aku terus tanya boss aku, siapa duduk di tingkat atas, kalo semua dah tidur di bilik bawah. Boss aku bagi tahu, maid dia tidur di bilik atas. Aku tengok tangga untuk naik tingkat atas rasa macam tinggi sangat. Tangga tue diperbuat dari kayu, anak tangga juga dari kayu yang bercat coklat gelap. Aku nampak ira-ira kayu yang berwarna lagi gelap dari warna coklat. Nampak seperti kayu yang digunakan untuk buat tangga tue dari jenis kayu yang mahal.

Aku naik ke tingkat atas. Rupanya tingkat atas ada ruang tamu yang luas dan ada balkoni yang terbuka. Aku berjalan menuju ke balkoni. Pintu kaca terbuka luas. Langsir putih nipis dan jarang berkibaran kerana tiupan angin sepoi-sepoi bahasa.

Pandangan dari balkoni menghadap ladang kelapa sawit yang luas..seluas mata memandang. Bila aku tengok ke bawah, aku rasakan bahawa rumah tue bukan ketinggian 2 tingkat, tetapi lebih tinggi dari tue. Aku cepat-cepat masuk ke dalam, kerana berasa gayat dengan ketinggian itu.

Aku lihat keadaan ruangan tingkat 2 rumah boss aku nie...semua aku perhatikan. Ruang atas kosong hanya nampak 3 pintu bilik yang berkunci rapat. Lantai tingkat 2 nie dari parkir kayu segi empat tepat berwarna coklat gelap yang disusun-susun. Macam rumah dulu-dulu. Bukan dari morzek atau marble.

Aku mendongak ke atas...dan aku berasa pelik, kerana siling atas diperbuat daripada kayu nipis. Nampak kesan-kesan air hujan bertompok dan ada kayu yang nampak dah kembang kena air.
Dalam hati aku berdetik lagi. Nape rumah boss macam nie?

Aku jalan turun ke bawah. Aku tengok 2 orang kawan aku tengah menjamu selera dengan juadah yang boss dah sediakan. Semua puji sedap. Tapi aku tak erasa nak join mereka menjamu selera.

Aku ajak 2 orang kawan aku balik sebab aku rasa tak sedap hati. Kawan aku pun follow aku keluar dari rumah boss. Yang peliknya boss aku tue tak iring kami keluar pun. Kami keluar sendiri.
Bila kami nak keluar, tetiba jalan nak keluar berubah jadi jurang batu yang tajam dan tinggi. Walhal, masa masuk tadi bukan jalan macam tue. Dalam hati aku, macam mana pun aku kena keluar dan tinggalkan rumah nie.

Aku turun slow-slow ikut batu-batu yang tak tajam...tapi aku stuck, sebab depan aku ada jurang batu yang tinggi dan nampak tajam. Tetiba, ada seseorang hulurkan tangan dan bantu aku untuk keluar dari jurang tue. Aku sambut tangan dia dan aku rasakan seperti aku telah diangkat tinggi untuk lompat dan aku selamat turun. 2 orang kawan aku pun dapat turun dengan selamat.

Aku ucapkan terima kasih kat lelaki nie sebab dah tolong aku. Tapi lelaki yang tolong aku nie senyap je tak cakap apa-apa. Lelaki ini just jalan je dan tunjuk jalan keluar. Bila dia dah tunjuk jalan keluar, dia pun pergi. Dia nampaknya pergi dengan tergesa-gesa. Aku tak pasti, nape reaksi dia seperti takut.

Bila lelaki nie dah pergi, aku tengok jalan keluar tue dah hilang. Kawasan tue seperti kawasan perumahan tinggal. Kami bertiga tak jumpa kereta kami. Kawasan sekeliling adalah ladang kelapa sawit.
Kami bertiga cuba mencari jalan keluar, tetapi kami bertiga seolah-olah berpusing pada tempat yang sama.

Kawasan tue tetiba berubah menjadi kawasan belukar dan banyak kereta-kereta buruk yang elah dipenuhi dengan pokok menjalar di tepi lorong menghadap ladang kelapa sawit. Motor-motor buruk yang dah berkarat tercabut tayar. Basikal-basikal buruk yang hanya tinggal rangka sahaja. Aku rasa sangat pelik dan janggal kenapa kawasan tersebut berbeza dengan kawasan sebelum nie. Rumah boss aku dan berubah jadi rumah tinggal kosong tak berpenghuni. Boss aku pun dah hilang entah ke mana.

Kami jalan dan jalan lagi. Tetiba kami terserempak dengan 3-4 orang lelaki dengan muka yang tiada perasaan, letih dan lesu. Pakaian mereka nampak smart berkemeja dan berkot. Tetapi tak terurus dan serabai.

Mereka jalan-jalan tanpa arah tujuan. Seolah-olah mereka pun sama, terperangkap dalam kawasan yang tiada jalan keluar. Mungkin mereka dah letih dan kepenatan kerana berpusing di tempat yang sama.

Cuaca panas terik kini telah beranjak ke petang. Kami bertiga masih belum temui jalan keluar. Aku berkata dalam hati, aku tak nak stuck di tempat pelik nie sampai malam. Aku kena cari jalan keluar. Macam mana pun aku akan usahakan untuk cari jalan keluar sebelum hari berenjak malam.

Tiba-tiba aku teringat masa datang tadi, kereta lalu di lorong tepi ladang kelapa sawit. Jalan straight je tak belok-belok...dan bila sampai simpang, kena belok kanan untuk keluar dari kawasan perumahan tue...sebab masa datang kami belok kiri untuk masuk simpang.

Aku bagi tahu idea aku dengan 2 orang kawan aku tue . Aku cadangkan untuk jalan kaki sahaja. Tak payah cari kereta. Tak sangka idea aku tue didengari lelaki-lelaki yang senasib ngan kami dan mereka nak follow kami.

Tengah aku cakap tue, tetiba semua orang berundur ke belakang dan menyorok.

Aku tanya dorang kenapa? nak gi mana?

Diorang hanya tunjuk jari ke arah sesuatu di belakang ku.

Bila aku pusing belakang, ada satu lembaga hitam tengah mengesot-ngesot ke arah kami. Setiap kali mata berkelip, dirasakan seolah-olah lembaga tue makin dekat, dekat dan dekat.

Aku cepat-cepat bersembunyi...tapi dah terlambat sebab lembaga tue dah nampak aku.

Lembaga tue mengesot-ngesot di tanah...nampak rendah je....tapi bila dia sampai kat aku dia jadi tinggi dan besar...muka dia...aku tak berani nak tengok...aku cepat-cepat tutup mata dan berserah pasrah. Mulut aku hanya mampu melafazkan ucapan Allah..Allah...Allah Ya Allah...Allah..Allah..Allah Ya Allah...

Dalam hati aku cakap semua nie mimpi je...mimpi...aku kena cepat tersedar dari mimpi nie...aku kena keluar dari mimpi nie...

Aku rasakan bahawa aku susah nak tersedar dari mimpi. Aku baca lagi kuat dan kuat lagi sampai aku terjaga dari mimpi...

Bila aku terjaga dari mimpi tue, mulut aku masih lagi melafazkan ucapan Allah...Allah..Allah Ya Allah lagi dan jantung aku berdebar kencang...dan still rasa takut...seolah-olah roh aku betul-betul mengalami kejadian seram itu.

Aku tengok jam dah kul 5.19 pagi dan terdengar masjid dah start bacaan al-quran sebelum masuk azan subuh.

Bila difikirkan semula, aku bersyukur sebab aku tak makan juadah yang boss aku sediakan. Kalaulah aku makan aku tak tahu, aku boleh keluar dari mimpi ke tak.

Apa pendapat korang pasal mimpi aku nie. Mimpi nie betul-betul terjadi ke atau ianya sekadar mainan tidur?

Nak cakap aku baca kisah seram sebelum tidur...tak de gak...Tengok cerita seram pun tak ada.

Atau mungkin, malam tadi aku lupa nak baca 3 qul dan ayat kursi sebelum tidur...sebab itu roh aku telah diculik dan dibawa ke tempat sebegitu. Sekadar andaian aku sahaja. Tiada sebarang fakta yang menyokong andaian nie.

 Sekian, semoga terhibur dengan perkongsian pengalaman Mimpi.

Kisah 3: Welcome to Black Parade – My Chemical Romance

 

When I was a young boy

My father took me into the city

To see a marching band

He said, “son, when you grow up

Would you be the savior of the broken

The beaten and the damned?”

He said, “will you defeat them

Your demons and all the non-believers?

The plans that they have made?

Because one day, I’ll leave you

A phantom to lead you in the summer

To join the black parade

 

Sape yang suka gilerr-gilerr lagu nie, kite geng…hihihi…sebab lagu nie memang lagu favorite masa tgh bt revision / study zaman belajar dulu-dulu. Memang akan ulang-ulang-ulang lagu yang sama setiap hari dan tak jemu-jemu. Sampai hafal la lirik penuh lagu nie. Tapi lepas kejadian yang di luar jangka dan luar biasa yang leh masuk dalam kategori misteri juga menyebabkan aku dah delete terus lagu nie dari laptop…handphone dan pen drive. Rasanya agak lama gak la aku tak dengar dah lagu nie lepas insiden tue.

 

Kisah nie berlaku tahun 2010, masa tue aku tgh sambung degree secara e-PJJ. Time tue aku bekerja sambil belajar. Lepas abis diploma aku dapat offer keje kat Kota Bharu. Aku gamble gi cari rezeki di negeri orang. Lepas keje setahun, aku tengok kawan-kawan ramai yang sambung study. Aku rasa jealous sebab ramai yang sambung. So, aku pun bincang ngan boss, boleh ke kalau aku nak mohon sambung belajar sambil bekerja. Sebab aku perlu dapatkan sokongan Ketua Jabatan kalau aku nak sambung belajar. Program e-PJJ nie waktu kuliah dia adalah hari Sabtu dan Ahad je. Dalam sebulan, perjumpaan di kelas 4 kali sahaja. Tapi walaupun 4 kali, tempoh jam perjumpaan adalah full day untuk hari Sabtu….bermula jam 8 pagi sampai 6 petang dan separuh hari untuk hari Ahad. Disebabkan hari Ahad, adalah hari bekerja di Kota Bharu, jadi aku kena ambil cuti sendiri untuk hadir ke kelas. So, selepas berdiskusi, Ketua Jabatan bagi kelulusan. Maka bermula la kisah aku sebagai seorang pekerja dan pelajar e-PJJ untuk tempoh 4 tahun. Aku travel dari Kota Bharu ke Shah Alam setiap 2 minggu sekali untuk hadir kelas e-PJJ.

 

Bila pilihan telah dibuat, so kena la pandai bahagikan masa dengan baik dan komitmen yang tinggi atas pilihan yang telah dibuat. Pengorbanan tue sudah semestinya ada. Bak kata omputih, No Pain No Gain…kalau nak ambil kata-kata Edward dari anime Fullmental Alchemist – “hukum pertukaran yang sama nilai”…bermaksud, untuk mendapatkan sesuatu, maka harus dibayar dengan sesuatu yang sama nilai dengan apa yang kita inginkan. Itulah namanya pengorbanan dalam kehidupan untuk mendapatkan sesuatu yang lebih baik.

 

Ok…dah jelaskan sedikit latar belakang kisah aku keje dan study secara e-PJJ. Berbalik semula kepada kisah yang sebenar…setiap dalam lagu-lagu yang kita dengar mesti ada kisah disebaliknya. Yang tahu tentunya hanya diri sendiri. Macam tue gak ngan aku…lagu Welcome to the Black Parade nie ada meninggalkan kesan yang menyeramkan gak la. Sebabnya dah 10 tahun tak dengar or tgk video klip lagu yang pernah jadi favorite nie.

 

Kebiasannya bile hidup sebagai pelajar nie…time yang paling sibuk dan tak cukup masa nak buat revision adalah bile lagi 2 minggu nak final exam. So, tue la yang aku pernah alami. Memang tempoh 2 minggu nak exam tue…macam-macam nak kena cover. Nak tidur pun takut…kiranya makan minum mandi semua ngan buku la…hari Jumaat dan Sabtu adalah hari dok dalam rumah dan pulun sebanyak mungkin. Time tue la teringat kat Doremon…bagusnya kalo ada Roti Hafalan. Roti yang leh cap kat buku dan bila makan roti tue semua content dalam buku boleh diingat. Hahahaha…Doremon gak yang aku ingat time-time terdesak macam tue. Astaqfirullah halazim…patut kena banyak berdoa ngan Allah swt time-time mcm tue…maaflah, zaman budak-budak lagi…

Aku nie jenis yang sambil belajar sambil dengar lagu. Lagi stress, lagi heavy lagu yang akan aku dengar. Time buat revision tue, xde la nak dengar lagu-lagu balada or sentimental nie…leh tertido kot. Otak tak jalan…otak jadi tak agresif untuk study. Nie cara aku la…sebab lain orang lain cara study. Jadi jangan kecam iye…maaflah iye…huhuhu…

 

Pilihan lagu aku time tue adalah lagu oleh My Chemical Romance dan Muse je…ada 2 lagu je yang aku rasa sesuai ngan keadaan aku time tue…Welcome to Black Parade dan Super Massive Black Holes. Tapi, my favorite song opkos la Welcome to Black Parade. Jadi aku ulang-ulang-ulang-ulang entah berape banyak kali dah ulang sepanjang tempoh aku study tue. Aku pasang video klip kat TV dan setting repeated. Siang malam…dengar lagu yang sama je…mesti jiran sebelah menyebelah pun dah hafal lagu nie. Hahaha... sebab kalo waktu pagi tue…agak kuat gak la volume aku pasang. Huhuhu…maaflah jiran-jiran iye…zaman budak-budak…

 

Hari tue Jumaat…iaitu minggu terakhir sebelum minggu peperiksaan akhir bermula. Aku study sampai nak maghrib. Pintu rumah dan tingkap aku tak tutup…tambah plak lagu Welcome to Black Parade masih berkumandang dalam volume yang agak kuat. Entah kenapa…aku stop study, aku tengok luar rumah dengan pintu terbuka luas. Depan umah aku bukan ada apa-apa pun…menghadap kebun orang. Kiranya semak samun kebun la kiranya. Pastue…dari arah bertentangan dengan aku pandang tue…dari jauh aku nampak pokok ketapang menjulang tinggi. Memang nampak pokok ketapang tue ada 1 je…tegak berdiri. Bila tengok lelama…rasa seram sejuk plak. Yang peliknya…mata macam terpaku tengok pokok tue…sambil tue mulut ikut nyanyi lagu Welcome to Black Parade tue. Rasanya aku nyanyi time tue penuh perasaan kot…sebab aku nak luahkan rasa penatnya study sepanjang hari. Cara untuk release tension time tue. Huhuhu…zaman budak-budak…

 

Aku tak bangun tutup pintu pun, tapi aku alih pandangan aku tengok video klip lagu tue…sambung nyanyi…padahal dah nak maghrib dah tue. Masa tue aku tengok scene penyanyi tue atas pentas dan ada perarakan kereta…masa tue macam rasa terpukau je…mata memang static dan tak beralih dan mulut nyanyi-nyanyi lagu tue…tetiba vision aku macam bergoyang…macam pening…aku tengok video klip tue macam blur-blur…tiba-tiba aku nampak ada satu imej yang menakutkan muncul di skrin TV aku. Memula aku ingat imej tue dari video klip tue…tapi andaian aku salah…sebab imej tue makin besar dan seolah-oleh nak keluar dari TV tue…korang boleh bayangkan macam dalam cerita Sadako…satu entity yang keluar dari perigi buta…memula nampak macam dalam TV je…tapi entiti tue makin besar dan seolah-olah nak keluar dari TV. Iya…time tue, memang macam tue la apa yang aku rasa. Aku terkejut dan rasa takut sangat. Dah la time tue jarak aku ngan TV 0.5 meter…memang dekat giler…serious aku menjerit kuat…dan aku capai remote TV dan Off TV terus. Aku cabut pen drive kt USB TV dan simpan dalam pencil box. Aku cepat-cepat tutup pintu dan tingkap. Menggigil satu badan aku time tue. Aku tinggal semua buku kat ruang tamu…aku masuk bilik cepat-cepat dan tutup pintu.

 

Imej yang aku nampak tue sungguh menakutkan…imej muka yang buruk sangat…hijau kehitaman…rambut kusut masai…mulut bergigi tajam dan berdarah…mata terjegil memandang aku time tue. Gilerrr betul…nasib baik aku tak kena hysteria time tue. Tue la first time aku nampak muka yang menyeramkan depan-depan muka aku sendiri. Aku tak tahu sama ada ianya hanya satu halusinasi atau tidak. Tapi bagi aku ianya adalah sesuatu yang real dan nyata yang berlaku dekat aku.

Bermula malam tue…aku tidur buka lampu. Aku tidur dalam bilik yang terang benderang. Aku tak berani tutup lampu dah kalau nak tido. Sebab kalau tutup lampu, rasa macam aku boleh nampak imej menakutkan tue lagi.

 

Nak dijadikan cerita bahawa apa yang telah berlaku itu adalah satu reality, esok pagi aku tengok kat belakang betis aku ada lebam kebiruan yang sangat besar. Aku rasa sangat pelik dan ada rasa takut skit. Ya Allah…nape tetiba lebam nie. Bile aku picit kawasan lebam tue tak rasa sakit pun. Biasanya, kalau kita terhantuk kat mana-mana dan lebam, akan rasa sakit bile picit kawasan lebam yang ada darah beku tue. Tapi lebam yang nie tak de rasa sakit langsung pun. Cuma aku nampak ada kesan 5 dot berbentuk bulat di kawasan lebam tue. So, aku pun tanye Mr Google…dan aku jumpa jawapannya...ada kemungkinan bahawa aku telah digigit oleh something yang tidak nampak. Mungkin ada kaitan dengan kejadian yang berlaku pada senja tue.

Moral of the story, aku dah serik nak dengar lagu Welcome to Black Parade tue…jadi, aku delete semua koleksi lagu-lagu heavymetal yang ada dalam simpanan termasuk Welcome to Black Parade. Aku mengaku, salah aku gak…gi nyanyi lagu-lagu pelik bile senja menjelang. So, tak mustahil secara tak langsung macam aku jemput entiti-entiti nie join konsert My Chemical Romance. Nasib baik la tak jadi apa-apa kat aku time tue….dah la dok sorg-sorang…huhu…Cuma satu je la…hmmm…aku dah derma darah aku kat diorang skit. Tak mustahil dorang marah sebab tetiba aku off semua. Maybe time tue dorang tengah nak bergumbira. Huhuhu….Jadi, hukum pertukaran yang sama nilai…terpaksa aku terima kesan lebam di betis untuk natijah yang aku cari sendiri. 

 

Sejak tue aku dah ubah genre lagu…aku layan OST anime plak…Kiroro Miraie…Fate Stay Night…Blue Bird…layan 1st artis vocaloid Hatsune Miku. Hihihi…ubah semua 360°…sampai sekarang kekal ngan dunia anime…

 

Sekian, semoga terhibur dengan perkongsian pengalaman Welcome to Black Parade – My Chemical Romance.

Covid19 : Oh Nasi Lemak Mabeles Mak Kiah

 

 


16 Mac 2020 – Perutusan Khas Perdana Menteri mengenai Covid19

“Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mulai 18 Mac 2020, iaitu lusa hingga 31 Mac 2020, di seluruh Negara. Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. Perintah Kawalan Pergerakan ini meliputi …” berkumandang suara Perdana Menteri Malaysia yang ke-8 YBhg. Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi saluran Astro Awani. Raut wajah dan suara yang penuh kesedihan dan kerisauan dengan keadaan negara Malaysia yang sedang dilanda musibah wabak Covid19. Keputusan PKP ini terpaksa dilakukan kerana keadaan pesakit di Malaysia yang semakin meningkat dan ianya cukup membimbangkan. Oleh yang demikian, objektif utama PKP adalah untuk memutuskan rangkaian jangkitan wabak Covid19.

 

“Mak…oh mak…PM umumkan PKP ni mulai 18 Mac. Mak, mak dengar tak…mak, mana mak ni…hmmm…” sambil bangun menuju ke dapur mencari Mak Kiah  yang entah di mana.

“Apa ni, terjerit-jerit…ingat awak tu anak dara…terjerit-jerit tengah malam. Mak dalam bilik air tadi, tak dengar. Haa…ada apa? PM umumkan apa malam-malam ni?” jawab Mak Kiah sambil melangkah keluar dari bilik air.

 

“PM umumkan mulai 18 Mac akan berkuat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan. Tak boleh keluar rumah sewenang-wenangnya. Hanya ketua keluarga sahaja yang dibenarkan keluar rumah untuk pembelian barang dapur atau sebarang urusan kecemasan. Selain daripada itu tidak boleh keluar sama sekali” balas Jeha bersungguh-sungguh dengan penuh gaya.

 

“Ya Allah, betul ke ni? Abis tue macam mana mak nak berniaga? Kalau mak tak berniaga, kita nak makan apa Jeha…aduhai…macam mana nak sara hidup keluarga ni nanti” nada suara mak berubah menjadi sedih bila mendengar berita yang tidak disangka-sangka itu.

 

Mak Kiah adalah ibu tunggal yang menyara 2 orang anak remaja. Jeha atau nama sebenarnya Najihah Najib berumur 17 tahun dan merupakan calon SPM tahun 2020 anak ke-2 dalam keluarga yang kecil ini. Anak sulong Mak Kiah, Naqiuddin Najib atau nama panggilan Naqiu berumur 25 tahun. Naqiu telah berhijrah ke Kuala Lumpur 6 tahun lepas selepas tamat pengajian diploma di UiTM Shah Alam. Diploma Senibina, Perancangan dan Ukur yang diperolehi telah melayakkan Naqiu menjawat jawatan sebagai Penolong Pegawai Perancang Bandar di Jabatan Kerja Raya (JKR). Mak Kiah telah kehilangan suami tercinta dalam kemalangan jalan raya. Kejadian itu berlaku ketika suaminya hendak pulang ke rumah selepas usai solat subuh berjemaah di Surau Ar-Redhuan hanya 5 kilometer sahaja jaraknya dari rumah. Kemalangan yang telah meragut nyawa suaminya di tempat kejadian tanpa sempat dihantar ke hospital. Kemalangan itu jugalah yang menyebabkan Mak Kiah menjadi ibu tunggal dan terpaksa membesarkan anak-anaknya yang masih kecil berseorangan. Itu kisah Mak Kiah 11 tahun yang lepas. Tapi ada satu kisah yang masih menjadi rahsia Mak Kiah. Mak Kiah simpan sendiri dalam hati. Mak Kiah berdoa agar Allah swt telah sediakan perancangan yang terbaik untuk dirinya dan keluarganya. Apa yang perlu difokuskan adalah kehidupan dia sekarang. Kehidupan untuk dia menyara dirinya dan Jeha yang masih bersekolah.

 

“Mak…oh mak…mak kenapa diam je ni. Risau la Jeha tengok mak macam ni. Mak jangan la risau sangat. Jeha kan ada. InsyaAllah, kita boleh sama-sama harungi kesusahan yang bakal kita hadapi ni. Mak jangan risau iya…” Jeha telah mengejutkan Mak Kiah dari lamunan kisah silam yang panjang.

“Baiklah anak mak ni. Anak siapalah yang baik sangat ni iya. Ikut perangai siapalah agaknya iya…” balas Mak Kiah dengan nada suara yang ceria semula.

 

“Dah, jom-jom tidur…dah malam ni. TV dah tutup ke tu? Pergi tutup TV” sambung Mak Kiah kepada Jeha yang bermalasan bergerak ke ruang tamu untuk tutup TV sebelum masuk bilik tidurnya.

 

17 Mac 2020 – Kampung Sri Lalang

Jarum jam di dinding baharu melepas jam 4.00 pagi. Mak Kiah telah kelentungan di dapur untuk menyiapkan kuih muih yang akan dijual di kedai makan di pinggir kampung. Selain kuih muih, Mak Kiah juga ada menjual nasi lemak mabeles. Nasi lemak Mak Kiah sangat popular di kalangan penduduk kampung di situ. Kadang kala terdapat juga penduduk dari kampung sebelah datang ke Kampung Sri Lalang semata-mata untuk membeli nasi lemak mabeles Mak Kiah. Mak Kiah boleh dilabelkan sebagai ibu tunggal yang popular di Kampung Sri Lalang sehingga ke kampung sebelah. Reputasi Mak Kiah sebagai ibu tunggal yang berdikari dan cekal dalam membesarkan anak-anak yang masih kecil lepas kehilangan Pak Najib sangat dikagumi dan disegani di kalangan penduduk kampung. Ditambah dengan kemurahan hati untuk membantu golongan yang susah dan memerlukan bantuan menyebabkan Mak Kiah telah dilantik di kalangan ibu-ibu tunggal di situ sebagai Penghuluwati.

 

“Jeha, oh Jeha….dah pukul berapa ni…subuh dh nak abis ni, tak bangun-bangun lagi. Anak dara apa ni bangun lambat…nak tunggu mak kejut baharu nak bangun. Tak boleh ke bangun sendiri. Jangan bagi mak datang bilik tu bawa gayung air…” jeritan Mak Kiah memenuhi ruang rumah di waktu subuh hari. Itu la rutin harian Mak Kiah setiap pagi. Nasib baiklah kedudukan rumah kampung ni tidak rapat-rapat macam rumah di Bandar. Kalau tidak, setiap pagi jiran-jiran akan mengalami gangguan bunyi melebihi 85 desimal hasil jerita Mak Kiah. Semakin lambat Jeha bangun, semakin kuat suara Mak Kiah sehingga boleh mencecah 100 desimal. 

 

“Mak ni, cakap dah nak abis subuh…tu baharu je dengar azan. Baharu nak masuk subuh. Mak saja je tau, kacau Jeha tidur” kedengaran tapak kaki Jeha berjalan menuju ke ruang dapur dengan nada suara mengeliat dan tidak puas hati kerana dikejutkan dari tidur. Tangan Jeha dengan malas menarik kerusi untuk duduk dan menyembamkan muka di atas meja sambil memejamkan mata tanda protes kepada Mak Kiah.

 

“Ikut sunnah Nabi, kena bangun awal sebelum subuh agar mendapat keberkatan di waktu pagi. Supaya rezeki kita pagi ni mendapat diberkati dan melimpah ruah” jawab Mak Kiah sambil tangan laju menyusun kuih muih dengan rapi dalam bekas plastik berbentuk segi empat. Kelihatan nasi lemak Mak Kiah berasap dari bekas kedap udara bersaiz M berwarna merah. Sambal nasi lemak yang disediakan Mak Kiah ada 3 jenis sahaja hari ini – sambal bilis berapi, sambal sotong osem dan sambal kerang superb. Tidak lupa juga hidangan sampingan nasi lemak yang wajib ada seperti hirisan timun jepun, ikan bilis goreng campur kacang dan telur rebus. Semuanya telah tersusun rapi dalam bekas masing-masing.

 

“Jeha, hari ni kira last la mak boleh berniaga ni iya Jeha. Esok 18 Mac mak dah tak boleh niaga ke Jeha? Soal Mak Kiah pada Jeha yang senyap tak bergerak di meja makan.

 

“Hmmmm…” balas Jeha pendek dan ringkas. Kepala Jeha masih disembamkan di atas meja makan beralaskan lengan.

 

“Abis tu macam mana kita nak cari rezeki ni Jeha. Banyak bil-bil nak dibayar ni  Jeha. Belum lagi duit kereta dan motor tu lagi…roadtax dan insurans kereta tu pun dah nak tamat tempoh…” tambah Mak Kiah lagi dengan nada yang risau.

 

“Hmmm…” balas Jeha lagi…tanpa ada ulasan yang sepatutnya untuk melayan bualan Mak Kiah. Seolah-olah Mak Kiah bercakap seorang diri walaupun Jeha ada di situ.

 

“Jeha…dah la tu bangun…pergi mandi dan solat…mak dah nak siap ni. Gayung air ni ada je kat sini…kalau tak nak kena siram, cepat bangun…” Mak Kiah membalas dengan nada amaran yang biasa digunakan, tetapi tidak pernah dipraktikan pun. Sebabnya, kalau basah dapur, satu kerja pula untuk dikemaskan.      

 

Jeha mengeliat untuk kali sekian kalinya. Jeha menjeling ke arah jam di dinding. Baharu menunjukkan jam 6.10 pagi. Tanpa ulah banyak, Jeha ambil tuala yang telah tersedia di kerusi dan bergerak menuju ke bilik air.

 

Rutin harian Jeha adalah membantu Mak Kiah menghantar kuih muih dan nasi lemak mabeles di kedai hujung kampung. Kedai itu milik pak cik saudara belah ayahnya. Mak Kiah hanya meletakkan kuih muih dan nasi lemak mabeles di situ untuk dijual. Pak Cik saudaranya Pak Nasrul dan isterinya Mak Cik Jubaidah yang menjaga kedai tersebut. Mereka akan menyediakan minuman dan makanan gorengan yang lain seperti mee goreng, nasi goreng dan juga roti canai.  

 

Sekembali dari menghantar kuih muih dan nasi lemak mabeles di kedai Pak Nasrul, Jeha duduk melepak di ruang luar rumahnya. Matanya tertarah pada susuk tubuh Mak Kiah yang sedang sibuk menyidai kain baju di jemuran. Dia masih terniang-niang kata-kata Mak Kiah subuh tadi mengenai kerisauannya jika tidak boleh berniaga lagi mulai esok. Walau bagaimanapun, fikiran Jeha tidak boleh berfungsi dengan baik jika perutnya sedang menyanyikan lagu keroncong. Bau nasi lemak mabeles Mak Kiah menusuk ke hidungnya seumpama mengamit untuk memenuhi kehendak perut Jeha yang berkeroncong.

 

“Mak, meh la sarapan sekali. Jeha sendukkan nasi lemak untuk mak sekali ni” Jeha memanggil Mak Kiah yang telah hampir selesai menjemur kain baju.

“Iya lah, kejap lagi mak datang. Dah nak siap dah pun ni” balas Mak Kiah sambil tangannya pantas menjemur helaian yang terakhir.

 

Selepas selesai menjemur helaian terakhir, Mak Kiah berjalan lenggang-lenggok sambil memegang bakul pakaian yang telah kosong menuju ke ruang luar rumahnya yang sememangnya ada tersedia meja makan yang boleh memuatkan 6 orang. Kebiasaannya, waktu pagi Mak Kiah dan Jeha akan bersarapan di luar rumah sambil menghirup udara segar dan nyaman. Bau-bauan seperti pokok, rumput dan tanah di waktu pagi amat menyegarkan berbeza dengan bau udara di bandar-bandar besar yang penuh dengan asap dan debu.

 

“Mak, Jeha dah fikirkan idea yang bernas untuk hadapi masalah yang bakal kita hadapi bila penguat kuasaan PKP bermula 18 Mac nanti” Jeha mulakan perbualan selepas menyuap nasi lemak mabeles Mak Kiah.

 

“Jeha cadangkan kita buat jualan secara dalam talian. Jeha akan wujudkan laman Facebook khas untuk Nasi Lemak Mabeles Mak Kiah dan link untuk tempahan secara dalam talian. Nanti kita upahlah rider untuk bantu buat penghantaran. Mesti ramai je budak-budak kampung yang tak de kerja nak sudi jadi rider kita nanti. Mak rasa ok tak idea Jeha ni mak? Bukan itu sahaja, mak punya Nasi Lemak Mabeles Mak Kiah boleh pergi jauh secara lebih meluas ke kampung sebelah Kampung Sri Lalang Laut. InsyaAllah, Jeha yakin jualan Nasi Lemak Mabeles Mak Kiah boleh meningkat jika cara marketing kita betul dan sesuai dengan keadaan semasa. What do you say mak? On ke tak On? Huraian idea Jeha yang panjang lebar sedikit sebanyak memberikan harapan baharu untuk Mak Kiah menghadapi PKP nanti.

 

“Ok, mak On…mak On…Jeha buat la, mak ikut je kalau hanya itu pilihan yang ada” balas Mak Kiah dengan senyuman penuh pengharapan.

 

Selepas sarapan pagi, Jeha buka laptop hadiah ulang tahun kelahiran yang ke-17 yang dihadiahi oleh abang kesayangannya…abang Naqiu. Jeha dengan penuh semangat memulakan projek Nasi Lemak Mabeles Mak Kiah Viral. Jeha mewujudkan Facebook khas untuk mempromosikan Nasi Lemak Mabeles Mak Kiah. Jeha masukkan gambar-gambar nasi lemak yang menyelerakan yang masih panas dan berasap. Pemilihan penggunaan bahan-bahan mentah yang berkualiti dan segar dari ladang. Fakta yang paling penting adalah Nasi Lemak Mabeles Mak Kiah tentunya dijamin kebersihan dan halal toyyiban. Dalam masa 2 jam, laman Facebook Nasi Lemak Mabeles Mak Kiah telah dipublish dan diviralkan. Kini Jeha hanya perlu menunggu permohonan tempahan secara dalam talian melalui link borang tempahan yang telah disediakan. Di samping itu, Jeha juga telah memasukkan link untuk tempahan melalui aplikasi whatapps.

 

“Mak, oh mak…tengok ni mak…Nasi Lemak Mabeles Mak Kiah dah viral sampai kampung sebelah ni mak. Dah ramai follower untuk laman Facebook nasi lemak mak ni tau mak. Jeha dah dapat 80 tempahan nasi lemak untuk esok. Jadi mak boleh lah buat mengikut tempahan. Kurang pembaziran kalau macam ni.”

 

“Ya Allah, betul ke Jeha. Syukur Alhamdulillah. Masih ada rezeki untuk kita rupanya. Banyak juga yang buat tempahan iya. Tapi nanti siapa yang akan hantar. Jeha dah check ke siapa yang buat tempahan tua. Mak kesian kat rider tu nanti nak hantar banyak tempat-tempat berbeza” balas Mak Kiah dengan nada ceria dan bertukar kepada kerisauan untuk proses penghantaran.

 

“Mak jangan risau, anak mak ni dah fikirkan semua untuk mak. Jeha dah standardkan harga nasi lemak mabeles tu jadi RM4.00 sebungkus dan minimum pembelian adalah 5 bungkus dan ke atas. Jika pembelian melebihi 10 bungkus, tiada caj penghantaran dikenakan. Jika 10 bungkus dan ke bawah, caj penghantaran sebanyak RM2 dikenakan. Ok tak mak cadangan Jeha ni?” balas Jeha dengan penuh keyakinan untuk mengurangkan kerisauan Mak Kiah.

 

“Nanti rider tu nanti akan ambil caj penghantaran tu. Lagi banyak tempat dia pergi, lagi banyak la caj penghantaran yang dia akan terima” tambah Jeha lagi untuk meningkatkan lagi keyakinan Mak Kiah terhadap projek Nasi Lemak Mabeles Mak Kiah ni.

 

“Wah, bijaknya anak mak ni. Belajar dari siapa ni? Tak sia-sia mak bersusah payah sekolahkan kau Jeha. Meh sini mak nak peluk sikit” balas Mak Kiah dengan nada gembira dan bersyukur kerana dikurniakan anak yang sedia membantu dalam kesusahan.

 

18 Mac 2020 – Permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Permulaan hari untuk projek Nasi Lemak Mabeles Mak Kiah dimulakan seawall jam 7.30 pagi. 2 rider yang bertauliah telah dilantik untuk membantu dalam penghantaran Nasi Lemak Mabeles Mak Kiah. rider yang dilantik tu bukan orang lain pun, sepupu Jeha juga. Mereka berdua tidak mempunyai kerja yang tetap dan telah dikerahkan oleh mak ayah masing-masing untuk membantu Mak Kiah di samping dapat menjana pendapatan sendiri dari duit hasil penghantaran.

 

Mengikut pada rancangan Jeha, semua tempahan perlulah selesai dihantar selewat-lewatnya jam 9.00 pagi. Jika semua tempahan dapat diselesaikan mengikut tempoh masa yang ditetapkan, rider yang dilantik akan mendapat bonus upah di samping bayaran upah yang diberikan oleh pelanggan. Itu adalah syarat tambahan untuk Jeha memastikan rider yang dilantik menjalankan amanah yang diberikan mengikut ketetapan masa yang telah ditetapkan.

 

Hasil jualan Nasi Lemak Mabeles Mak Kiah telah meningkat jika dibandingkan dengan hasil jualan di kedai makan Pak Nasrul. Kemungkinan disebabkan pertambahan pelanggan dari kampung sebelah yang menyebabkan hasil jualan meningkat secara mendadak. Mak Kiah berasa sangat bersyukur kerana dilimpahkan dengan rezeki yang tidak putus. Hasil jualan ini Mak Kiah gunakan untuk bayar bulanan kereta dan motor serta menghidupkan semula roadtax kereta yang telah tamat tempoh. Mak Kiah bertambah yakin bahawa dalam setiap kesusahan yang dihadapi, pasti ada hikmah yang tersembunyi. Dia tidak menyangkakan bahawa pada musim PKP ini rezekinya bertambah dan melimpah ruah. Sekiranya seseorang itu pandai meramal keadaan semasa dan menggunakan peluang yang ada dengan cara yang betul, tiada sebarang halangan yang tidak mampu ditempuhi.

 

Reputasi Mak Kiah semakin meningkat naik. Semua orang-orang kampung mengagumi Mak Kiah kerana Mak Kiah adalah penduduk Kampung Sri Lalang yang pertama telah menggunakan kaedah penjualan nasi lemak secara dalam talian. Semua peniaga-peniaga runcit dan kecil-kecilan ingin menjadikan Mak Kiah sebagai Role Model Businesswoman yang berjaya.

 

Seiring dengan meningkatnya reputasi Mak Kiah, tahap kesibukan Jeha juga semakin bertambah. Ini kerana secara tidak langsung Jeha sebagai Penasihat Peribadi Mak Kiah, kini telah menjadi Penasihat kepada semua peniaga kecil di Kampung Sri Lalang. Ramai peniaga-peniaga kecil meminta bantuan Jeha mengwujudkan lama Facebook peniagaan masing-masing. Semua penjualan barangan dilakukan secara dalam talian. Memandangkan ramai yang meminta bantuan, maka Jeha telah mengenakan caj khidmat nasihat yang berpatutan kepada peniaga-peniaga ini. Secara tidak langsung, Jeha telah membuat penjanaan pendapatan untuk kemahiran ICT yang dia miliki.

 

31 Mac 2020 – Kampung Sri Lalang

“Mak…mak dah sedia ke untuk sesi temubual dengan Pengacara Motif Viral tue nanti mak? Sesi temubual tu akan diadalah melalui video call. Siapa sangka kan mak, Nasi Lemak Mabeles Mak Kiah boleh viral sampai satu Malaysia tahu. Mak dah terkenal tau sekarang ni” bicara Jeha kepada Mak Kiah yang sedang kyusuk melipat kain baju yang diangkat petang tadi.   

 

“Malu la Jeha…Jeha je la yang ganti mak nanti. Lagi pun mak mana la pandai nak jawab-jawab soalan mereka tu nanti. Nanti buat malu je kalau salah. Satu Malaysia nampak. Tak nak la mak” balas Mak Kiah sambil tangan pantas melipat baju-baju.

 

“Alaaa…mak ni…itu pun nak malu. Jeha ada lah mak. Jeha nanti duduklah sebelah mak. Kalau mak tak boleh jawab nanti, Jeha jawabkan la. Ok iya mak…boleh la…” balas Jeha dengan nada suara rayuan domba untuk memujuk Mak Kiah bagi sesi temubual itu nanti.

 

2 April 2020 – Sesi Temubual Bersama Movif Viral

“Assalamualaikum Mak Kiah dan Jeha. Terima kasih kerana sudi untuk ditemubual melalui video call ni. Almaklumlah PKP masih belum tamat lagi. Jadi video call adalah salah satu medium terkini yang boleh menghubungkan sesama kita dengan lebih pantas dan menjimatkan masa. Apa perasaan Mak Kiah apabila Nasi Lemak Mabeles Mak Kiah telah diviralkan dan dikenali seluruh Malaysia. Bahkan, Perdana Menteri Malaysia juga telah mengambil contoh Mak Kiah dalam pembentangan bajet untuk program Ransangan Ekonomi Malaysia. Bukan itu sahaja, nama Mak Kiah telah digunakan secara komersial dalam bidang-bidang pemasaran dan perniagaan. Semua ini berlaku sekelip mata sahaja dalam sepanjang tempoh PKP ini” bicara Shalma Ainaa pengacara Motif Viral ditujukan kepada Mak Kiah dan Jeha yang berada ditalian.

 

“Waalaikumsalam. Terima kasih kerana sudi menemubual Mak Kiah. Mak Kiah berasa amat bersyukur kerana medium ICT ini telah membantu Mak Kiah mengembangkan penjualan Nasi Lemak Mabeles ini lebih meluas lagi. Mak Kiah pun tidak sangka, idea yang Jeha cadangkan ini membuahkan hasil malahan lebih dari apa yang Mak Kiah bayangkan. Mak Kiah tidak menyangka bahawa Mak Kiah akan ditemubual dan masuk dalam rancangan Motif Viral ni. Mak Kiah tak pernah pun tengok rancangan ni. Jeha je yang selalu tengok rancangan ni” balas Mak Kiah dan diakhiri dengan gelak kecil.

 

“Pada awalnya Jeha hanya hendak membantu mak yang risau jika PKP bermula, maka mak dah tak boleh nak jual nasi lemak mabeles lagi. Jadi Jeha berikan idea ni kat mak dan mak setuju. Jeha pun tidak menyangka sama sekali yang idea Jeha ni memberi kesan yang besar di seluruh Malaysia. Dalam pada yang menyokong, sebenarnya ada je yang tidak suka atas kejayaan mak. Tapi kami anak beranak menerima semuanya dengan tangan yang terbuka dan mendoakan agar semua dikurniakan rezeki yang tidak putus-putus sepanjang musim PKP ini” tambah Jeha untuk persoalan yang diajukan oleh Shalma Ainaa.

 

“Apa kata-kata nasihat dari Mak Kiah untuk semua penonton Motif Viral?” persoalan terakhir Shalma Ainaa kepada Mak Kiah.

 

“Mak Kiah nak ambil kesempatan ini agar semua rakyat Malaysia untuk terus kekal berada di rumah dan ikut saranan pihak kerajaan bagi membendung rangkaian Covid19 ini. Perlu ada penjarakan social di tempat-tempat awam terutamanya ketika hendak membeli barangan dapur. Kebersihan perlu dijaga dan perlu kerap basuh tangan dengan sabun dan air bagi mencegah sebarang jangkitan. Topeng muka perlu digunakan setiap kali keluar rumah untuk membeli barang keperluan. Jangan keluar rumah jika tidak perlu. Bak omputih cakap, Stay Home…Stay Safe. Together We Fight Covid19. Terima kasih” ucapan yang penuh berinformasi daripada Mak Kiah kepada semua rakyat Malaysia.

 

“Ingat Mak Kiah Viral…Ingat Ohhh…Nasi Lemak Mabeles Mak Kiah…Tak kenal maka tak cinta, dah rasa mesti nak lagi…itu lah Nasi Lemak Mabeles Mak Kiah…”

N3g@rA H4r^m

Negara Haram by akeno2024 17 November 2023 Jika sejarah mampu bersuara Dahulu engkau hanya pelarian Baki serpihan simpati Hitler Untuk tingg...